Sebahagian daripada 1,200 kakitangan Jasa di seluruh negara akan akan berdepan dengan penamatan perkhidmatan berkuatkuasa esok, 15 Oktober.
Sebahagian daripada 1,200 kakitangan Jasa di seluruh negara akan akan berdepan dengan penamatan perkhidmatan berkuatkuasa esok, 15 Oktober.

KUALA LUMPUR – Bermula esok (15 Oktober), kira-kira 1,200 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berdepan dengan detik sukar setelah mereka tidak lagi bergelar penjawat awam.

Mereka akan kehilangan pekerjaan tetap setelah Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih kerajaan Persekutuan hendak membubarkan fungsi jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu.

Dalam warkah terbuka warga Jasa kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka mengakui esok adalah hari paling sukar dalam hidup kerana akan kehilangan satu-satunya punca rezeki untuk menampung keluarga.

Menurut mereka, dengan faktor umur 40 tahun ke atas, tidak ada siapa hendak menggajikannya sebagai pekerja dan tambahan pula perlu bersaing dengan anak muda yang turut mencari pekerjaan.

“Sehingga kini, kami masih lagi tertanya-tanya apa salah dan dosa kami sehinggakan Tun Mahathir tergamak memberi arahan menamatkan kontrak kami.

“Keputusan drastik kerajaan untuk membubarkan Jasa adalah satu bentuk penganiayaan kepada kami.

“Kami bukan lantikan politik, kami perlu melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta proses temuduga yang ketat untuk kelayakan dan pengalaman bekerja,” katanya yang dipetik melalui warkah itu.

Menurut mereka, bukan semua yang ditamatkan kontrak itu adalah lantikan politik dan di manakah keadilan serta janji menteri, Gobind Singh Deo untuk menyerapkan kakitangan itu dalam agensi lain di bawah kementerian berkenaan.

“Apabila kami sudah diterima bekerja, kami hanya menurut perintah. Kami tidak boleh mengatakan tidak kepada arahan yang diberikan. Jika tidak mengikut arahan akan diambil tindakan tatatertib dan boleh dibuang kerja.

“Kami kakitangan Jasa ini berkhidmat untuk kerajaan hari ini. Tahukah Tun Mahathir bahawa kami merupakan benteng di hadapan yang mempertahankan kerajaan yang ada?

“Kami merupakan pejuang yang berada di belakang kerajaan untuk menyampaikan segala dasar negara kepada rakyat,” kata warkah itu lagi.

Mereka turut berkata, Jasa ditubuhkan ketika pemerintahan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat dan adakah tindakan memansuhkan jabatan itu selepas memegang semula jawatan berkenaan pada 9 Mei lalu dapat menyelamatkan kewangan negara.

“Kalau ya, kenapa pula kami menjadi mangsa? Kami terpaksa berdepan dengan persepsi negatif orang ramai yang mengatakan kami lantikan politik dan patut diberhentikan.

“Di antara kami ini ada yang merupakan ibu tunggal, suami dan bapa yang menjadi satu-satunya punca rezeki keluarga. Terdapat juga yang menghidap menyakit kronik dan memerlukan rawatan susulan setiap bulan. Di manakah belas ihsan Tun kepada kami?

“Ketika Tun bergembira bersama dengan keluarga terfikirkah oleh Tun nasib kami pekerja kontrak yang telah diberhentikan ini? Kami juga mempunyai impian yang sama seperti Tun ingin melihat anak-anak berjaya, namun semuanya hancur berderai,” katanya.

Dalam pada itu, mereka tetap menaruh harapan semoga Tun Mahathir berlembut hati dan memberi sinar harapan kembali kepada kakitangan itu dan keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast