KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun dalam tempohakhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) iaitu antara 2018 hingga 2020.
Pertumbuhan ini akan dipacu oleh peningkatan produktiviti dan permintaan dalam negeri yang mampan.
Berdasarkan sasaran pertumbuhan ekonomi tersebut, pendapatan per kapita dijangka mencecah RM47,720 atau AS$11,700 pada tahun 2020, iaitu di bawah anggaran paras pendapatan minimum negara berpendapatan tinggi.
Malaysia dijangka melepasi paras ini menjelang tahun 2024.
Namun begitu, matlamat untuk menjadi negara maju dan inklusif bukan sekadar mencapai status berpendapatan tinggi kerana pencapaian ini perlu diiringi dengan kuasa beli rakyat yang lebih tinggi, menurut Laporan Kajian Separuh Penggal Kedua, Rancangan Malaysia Ke-11,
Pada masa yang sama, aspirasi untuk menjadi negara maju memerlukan Malaysia turut maju dalam pelbagai dimensi lain seperti ekonomi, politik, budaya, psikologi, rohani dan sosial.
Reformasi fiskal dan tadbir urus serta merta adalah penting untuk mengukuhkan lagi kedudukan fiskal kerajaan dan memperuntukan lebih banyak sumber bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi negara.
Pelaksanaan segera reformasi ini adalah perlu untuk memastikan kemampanan ekonomi.
Bagaimanapun, langkah dasar berstruktur serta program dan projek pembangunan berimpak tinggi akan akan terus dilaksana melalui kaedah yang lebih telus dan mampan.
Dalam tempoh kajian semula, ekonomi negara mencatat pertumbuhan sederhana dengan sokongan permintaan dalam negeri yang kukuh walaupun persekitaran global adalah mencabar.
Pertumbuhan ekonomi dan pelbagai program berpaksikan rakyat telah memberi manfaat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat daripada segi pendapatan yang lebih tinggi, peluang pekerjaan yang lebih baik, penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti, perumahan mampu milik yang lebih banyak dan persekitaran hidup yang lebih selamat.
Bagaimanapun, ketidaksamaan sosioekonomi merentas negeri, kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia dan kos sara hidup yang meningkat merupakan antara beberapa isu yang menyebabkan pertumbuhan kurang dirasai oleh rakyat.
Keadaan ini mengakibatkan objektif ke arah menjadi negara maju dan inklusif kurang bermakna. – MalaysiaGazette