KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan meminta semua ahli parti agar bertenang dan tidak menimbulkan hura-hura.
Katanya, UMNO percaya Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid akan menerima perbicaraan yang adil tanpa prejudis terhadap petuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
“Saya harap ahli UMNO bertenang biar proses ini berjalan kerana kita mesti percaya kepada institusi awam ini. Apa yang kita harap supaya mereka menjalankan tugas secara profesional dan tanpa ada apa-apa tekanan daripada mana-mana pihak.
“Usaha untuk merencatkan UMNO dengan menekan individu tertentu tidak akan mematahkan semangat kita.
“Kekuatan UMNO adalah di peringkat ahli-ahli yang ramai diseluruh negara jadi saya harap ahli jangan bertindak melulu dan biar proses perundangan ini berjalan dengan lancar dan kita berdoa supaya Ahmad Zahid akan dapat perbincangan yang adil dan telus,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Mohamad atau Tok Mat hadir seawal 7.30 pagi bagi memberikan solidariti terhadap Ahamd Zahid.
Mengulas lanjut, Tok Mat berkata Ahmad Zahid berdepan 45 pertuduhan dan beliau minta dibicarakan.
“Pertuduhan dibacakan satu persatu, dan Ahmad Zahid minta dibicarakan dan perbicaraan dan tarikh akan ditetapkan oleh mahkamah,” katanya lagi.
Ditanya mengenai mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bakal diadakan, Tok Mat berkata, parti itu akan mengadakan mesyuarat pengurusan terlebih dahulu sebelum mesyuarat MT mengambil tempat.
“Saya akan buat mesyuarat pengurusan dahulu, kita akan bincang di peringkat pengurusan dan kita akan putuskan apa juga keputusan,” ujar beliau.
Semalam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pada 3.15 petang berhubung siasatan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – MalaysiaGazette