Kawasan tapak tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang. foto Bernama

GEORGETOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah menubuhkan jawatankuasa siasatan khas untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh di projek lebuh raya berkembar di Paya Terubong yang setakat ini mengorbankan lapan pekerja asing.

Pengarah DOSH negeri Mohd Rosdee Yaakob berkata, jawatankuasa khas itu antaranya dianggotai pegawai dari ibu pejabat DOSH, bahagian forensik, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Kerja Raya.

“Setakat ini, kami telah bermesyuarat untuk membincangkan strategi bagi menyiasat kejadian itu dan mengumpul maklumat dari tapak kejadian,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata penglibatan anggota dari pelbagai agensi termasuk satu pasukan siasatan dan pendakwaan (SSP) DOSH dalam jawatankuasa khas itu diperlukan kerana setiap agensi itu mempunyai kepakaran mereka dalam membantu menyelesaikan kes itu.

Beliau berkata, DOSH mempunyai tempoh tiga bulan untuk menyediakan laporan mengenai siasatan punca kejadian tetapi kemungkinan besar siasatan itu dapat diselesai lebih awal atas kerjasama pelbagai pihak.

Sementara itu, Rosdee berkata, setiap kerja-kerja pembangunan perlu berdaftar agar projek itu dapat dipantau oleh DOSH dari segi keselamatan tapak dan kesihatan pekerja, tetapi bukan dalam bidang kuasa DOSH untuk hentikan semua projek.

“Arahan henti kerja kami selalunya dikeluarkan selepas pemeriksaan dan penilaian risiko dibuat ke atas projek yang bermasalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) negeri agar DOSH menghentikan semua pembangunan lereng bukit di Pulau Pinang selepas tragedi tanah runtuh di Paya Terubong itu.

Katanya, setakat ini, terdapat lebih 1,000 projek di Pulau Pinang telah berdaftar dan di bawah pemantauan DOSH manakala projek yang tidak berdaftar boleh dikenakan tindakan mahkamah dan kompaun.

Insiden tanah runtuh itu yang dilaporkan pada 1.56 petang Jumaat lepas setakat ini telah mengorbankan lapan pekerja asing, empat cedera dan dua masih terperangkap di bawah runtuhan tanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast