KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan Anthony Loke bakal hilang ‘nafas’ pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, bulan depan susulan kegagalannya menguatkuasakan pendaftaran pemandu Grab.
Penasihat syarikat pengendali teksi Big Blue Capital Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, beliau akan memastikan Loke hilang kelayakan dipilih semula kerana ingkar kepada arahan Tun Dr Mahathir itu.
“Saya beri amaran, pemilihan DAP tak lama lagi.. bulan depan, kalau dia (Anthony Loke) tidak selesai kemelut, kita akan berada di sana.
“Saya akan pastikan Anthony oke tidak boleh bernafas sepanjang pemilihan DAP ini.
“Saya akan pastikan semua pemandu dalam industri teksi berkampung di depan pejabat DAP sepanjang pemilihan DAP
“Mahathir sudah mengarahkan dia untuk selesaikan masalah ini menurut undang-undang yang dipersetujui oleh Kabinet tapi dia masih tidak lakukannya,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Wisma Central, di sini, hari ini.
Berkuatkuasa 12 Julai lalu, perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial (Pindaan) 2017.
Mana-mana syarikat e-hailing diwajibkan berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan perlu membayar yuran seperti mana yang dikenakan ke atas pemandu teksi sedia ada.
Melalui peraturan baharu ini, pemandu kenderaan e-hailing perlu mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dengan kos RM115 setahun dan pemeriksaan kenderaan tahunan perlu dilakukan oleh Puspakom.
Shamsubahrin juga mendakwa, sejak kerajaan mewartakan moratarium dalam tempoh setahun peraturan baharu itu, kerajaan masih gagal mendaftar pemandu-pemandu teksi berdaftar dengan SPAD.
“Ini semua kerja SPAD, mereka malas dan tidak siap sedia, dua tahun lepas yang mana Tan Sri Hamid Albar janji Julai lepas semua pemandu e-hailing kena daftar. Kenapa masih tidak berdaftar?
“Jadi Ketua Pegawai Eksekutif SPAD tidur, bersenang-lenang mendapat gaji besar tanpa berbuat apa-apa. Mungkin CEO SPAD dibayar oleh Grab, siapa tahu!
“Saya minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ambil tindakan tapi tiada siapa siasat semasa zaman Barisan Nasional (BN).
“Saya tak terkejut kalau Grab bayar dia duit atau bayar gaji! Kalau Grab boleh labur RM5 juta semasa Sukan Komanwel 2018 dengan tidak membenarkan orang lain (pemandu) beratur dalam kejohanan itu.
“Saya tidak terkejut bukan dia sahaja bahkan Khairy Jamaluddin juga dibayar oleh Grab,” dakwanya lagi. – MalaysiaGazette