Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – UMNO dijangka membincangkan kedudukan Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat Majlis Tertinggi bulan hadapan, kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, setakat ini kedudukan Ahmad Zahid, yang menghadapi tuduhan di mahkamah, tidak dibincangkan kerana ia dianggap tidak memerlukan kesegeraan.

“Kita kena ikut perlembagaan. Segalanya ada dalam perlembagaan jadi kita akan ikut apa yang ada dalam perlembagaan. Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai kedudukan Ahmad Zahid),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada UMNO telah membincangkan mengenai kedudukan Ahmad Zahid.

Jumaat lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Ahmad Zahid, 65, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata UMNO tidak mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menyatakan bahawa anggotanya yang berjawatan tinggi perlu mengambil cuti jika menghadapi tuduhan di mahkamah.

Katanya, sebarang keputusan parti dibuat berlandaskan kepada perlembagaan dan peraturan parti sebagai garis panduan atau oleh Majlis Tertinggi jika sesuatu isu itu tidak terkait dengan perlembagaan atau peraturan parti.

“Kita pembangkang, kita belum ada SOP apabila kita dalam pembangkang. Sewaktu dalam kerajaan, kalau orang kita didakwa, mungkin sesuai pada masa itu, tapi segalanya baru bagi kita sekarang, jadi kita boleh bincang,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata sudah menjadi SOP parti di mana anggota yang berjawatan tinggi perlu mengambil cuti bekerja sekiranya didakwa di mahkamah. – MalaysiaGazette