Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak

SIMPANG PULAI – Rekahan tanah di Kampung Pawong di penempatan Orang Asli di Pos Slim di sini semalam bukan berpunca daripada sebarang gegaran sebagaimana yang tular di media sosial, menurut Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak.

Timbalan Pengarah JMG negeri Basharuddin Ismail berkata rekahan tanah sepanjang 50 meter itu berpunca daripada hujan lebat petang semalam.

Katanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang membuat pemantauan di kawasan itu tidak merasakan sebarang gegaran semasa berlaku rekahan kira-kira pukul 3 petang.

“Tanah rebak (merekah) ini pencetusnya adalah hujan dan kebiasaannya jika berlaku bencana geologi ini ia ada faktor pencetus sama ada hujan atau gegaran, tetapi di sini tidak berlaku gegaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Basharuddin berkata pihaknya akan tetap menjalankan kajian terperinci mengenai topografi asal penempatan Orang Asli itu bagi menentukan sama ada kawasan itu selamat atau berbahaya untuk diduduki.

“Penempatan ini mengikut maklumat Jakoa dibuat pada 2008, jadi kita perlu kajian untuk mengetahui bahagian mana yang ada tambakan atau tanah yang dipotong kemudian baru kita dapat maklumat tepat,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku lagi rekahan tanah di kawasan itu, beliau berkata ia tidak mustahil.

“Memang boleh berlaku kerana ada satu tempat semalam kita ukur lebar rekahan hanya 1.2 meter (m) hari ini telah jadi 1.6m dan ia bergantung kepada cuaca,” katanya.

Kg Pawong yang terletak 14 kilometer dari Simpang Pulai didiami oleh 115 penduduk dan mempunyai 36 buah rumah termasuk rumah adat yang dibina sendiri oleh penduduk serta sebuah surau.

— BERNAMA