SHAH ALAM – Pakar teknologi maklumat mengesahkan 2,000 undi yang ‘hilang’ dalam Pemilihan PKR 2018 di beberapa cabang di Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini disebabkan data tidak dapat disimpan secara ‘cloud’ kerana capaian internet yang lemah.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Rashid Din yang sekaligus menyelar dakwaan sesetengah pihak ibarat ‘menuduh’ jawatankuasa itu menyorokkan dan memanipulasi data undi.
Beliau berkata pengesahan itu dibuat secara sebulat suara oleh lima pakar teknologi maklumat terdiri daripada wakil pemimpin tertinggi PKR selain pakar daripada Institut Darul Ehsan dan dari luar negara, selaku pakar bebas, dalam satu sesi pembentangan proses pemilihan e-undi cabang tersebut hari ini.
“Capaian internet yang lemah ini diakui oleh pakar-pakar tersebut dan ia menyebabkan data undi tidak dapat dibaca dan tidak dapat dihantar ke ‘cloud storage’. Sebab itu undi secara atas talian terbabit ‘hilang’. Penemuan ini kita akan bawa dalam mesyuarat untuk lihat apakah tindakan yang boleh kita ambil.
“Untuk bertindak adil (kepada pengundi), idea pertama yang boleh kita buat adalah pengundian semula sebelum Kongress PKR pada 16 Nov ini. Sama ada secara sepenuhnya atau sebahagian saja, kita akan putuskan selepas bermesyuarat dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.-BERNAMA