KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran menubuhkan jabatan khas untuk membanteras jenayah berkaitan alam sekitar, khususnya membabitkan kecurian dan kemusnahan alam di seluruh negara.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata walaupun ada antara kesalahan dilakukan terletak di bawah bidang kuasa agensi lain, namun peranan polis mampu membantu mengekang aktiviti jenayah berkenaan yang semakin menjadi-jadi.
“Penglibatan aktif dan agresif pihak polis dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain mampu membantu kerajaan menangani isu berkaitan pada masa akan datang termasuk membanteras sindiket yang terlibat dalam pemburuan haram, kecurian balak dan kayu gaharu serta penerokaan tanah haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Lee berkata aspek penguatkuasaan bersama polis dan agensi berkaitan juga akan dapat membantu mengatasi pembangunan tidak terkawal di kawasan cerun yang menjadi penyebab utama kejadian tanah runtuh yang sering dilaporkan sejak kebelakangan ini.
Menurut kajian Universiti Teknologi Malaysia, terdapat 21,000 “hotspots” atau kawasan yang mudah berlaku tanah runtuh di seluruh negara dan 16,000 daripada jumlah itu berada di Semenanjung Malaysia.
“Selain aktiviti pembangunan, penerokaan tanah tidak terkawal juga menjadi antara punca beberapa kejadian tanah runtuh yang turut mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.-BERNAMA