Baru Bian
Baru Bian

SUBANG JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diharapkan dapat memperuntukkan RM2 bilion untuk Kementerian Kerja Raja (KKR) dalam Bajet 2019 bagi menampung kos penyelenggaraan yang kian meningkat setiap tahun.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, jumlah peruntukan itu diperlukan bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat diteruskan termasuk baik pulih jalan raya yang tertangguh hingga 30 peratus sebelum ini.

“Selalunya kita minta RM2 bilion dan jumlah itu yang seharusnya diagihkan agar ia mencukupi dan ia adalah tahap selesa untuk selenggara jalan raya di seluruh Malaysia.

“Saya harap ia akan diberi tapi kita tunggu saja berapa akan diberi kepada KKR.

“Anggaran itu patut kita ada jumlah itu yang selesa untuk kita guna untuk selenggara semua aset (KKR) di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tentang Bajet 2019 yang pertama kali dibentangkan PH selepas mengambil alih Putrajaya pada Jumaat ini.

Ia susulan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menekankan kepada perbelanjaan berhemah dan mengambil langkah berjimat-cermat.

Penyusutan pendapatan negara sehingga RM20 bilion selepas memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga akan memberi gambaran awal Bajet 2019 yang akan diumumkan Perdana Menteri di Parlimen, Jumaat ini.

Baru Bian juga berkata, beliau berharap peruntukan KKR dapat dtingkat pada tahun depan sesuai dengan pendirian PH untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

“Kita jangka (naik) kerana setiap tahun kita membina infrastruktur, kita tidak berhenti dan dalam masa sama kita meneruskan menyelenggara jalan raya.

“Dalam situasi ekonomi pun kita jangka belanja penyelenggaraan dapat ditingkatkan untuk kerja-kerja baik pulih bagi 20,000 kilometer jalan raya Persekutuan di seluruh negara.

“Sebelum ini pun saya sebut kita ada 30 peratus back log penyelenggaraan dan itu akan menambahkan kos penyelenggaraan. Saya berdoa agihan bajet bagi KKR kali ini akan diberi secukupnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast