KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan menunjukkan bakatnya mengesek biola dalam Konsert Duo Legenda di Istana Budaya pada 22 Disember ini.
Wanita Pertama Malaysia itu akan mengiringi persembahan nyanyian dua penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir menerusi lagu Gubahanku.
Jamal yang juga penerbit konsert menerusi syarikatnya, BinJamal Event berkata, segmen istimewa itu bertujuan mengutip dana bagi disumbangkan kepada golongan kurang berkemampuan.
“Ketika saya pertama kali berjumpa Tun Siti, beliau sangat teruja dengan idea ini. Beliau genggam tangan isteri saya yang turut hadir ketika pertemuaan itu.
“Pada mulanya saya rancangan Tun Siti main biola untuk dua lagu namun kami bersetuju untuk satu lagu dan beliau kini menghadiri kelas biola,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Konsert Duo Legenda di Istana Budaya di sini hari ini.
Turut hadir, M. Nasir dan penyanyi yang berasal dari Australia, Cassidy Anderson sebagai penyanyi undangan pada konsert tersebut.
Sementara itu, Konsert Duo Legenda tersebut akan berlangsung selama empat malam bermula 20 Disember.
Jamal dan M. Nasir bakal mencipta sejarah buat pertama kali berkongsi pentas bertaraf dunia dengan diiringi 20 pemuzik profesional.
Konsert berdurasi dua jam itu bakal menyaksikan gabungan penyanyi evergreen itu membawa lapan lagu popular masing-masing yang sehingga kini menjadi pujaan ramai.
Jamal akan menyampaikan lagu-lagu seperti Penghujung Rindu, Takdir Penentu Segala, Bicara Cinta, Di Sudut Kamar Hati, Deru, Mana Teman Seperjuangan, Di Sebalik Cinta dan Kau Lupa Janji.
M. Nasir pula dengan lagu seperti Hati Emas, Gerhana, Perjuangan, Sekuntum Bunga Plastik, Sesat Di Kuala Lumpur, Kolar Biru, Mustika dan Keroncong Untuk Ana.
Sementera itu, tiket-tiket berharga RM1,500 (Golden Seat/VVIP), RM558, RM458, RM358, RM258 dan RM158 boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333. – MalaysiaGazette