KUALA LUMPUR – Maybank, kumpulan perbankan yang terbesar di Malaysia dari segi aset, menjangkakan transaksi perbankan mudah alih bank itu akan melebihi RM40 bilion pada tahun ini berbanding hanya RM25 bilion yang direkodkan pada tahun lepas.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Farid Alias berkata ini didorong oleh peningkatan permintaan untuk kemudahan transaksi tanpa tunai di kalangan para pelanggannya termasuk penerimaan sistem QRPay yang lebih tinggi, yang telah diperkenalkan pada Januari lepas.
“Maybank telah pun mendaftarkan lebih 160,000 peniaga yang menawarkan sistem pembayaran itu, dan kami harap ia akan bertambah kepada 200,000 peniaga menjelang akhir tahun,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran perkongsian Maybank dengan operator rangkaian makanan segera, QSR Brands (M) Holdings Bhd, di sini hari ini.
Kerjasama itu membolehkan pengguna membayar menggunakan Maybank QRPay di restoran-restoran KFC.
QRPay merupakan sistem bayaran yang memerlukan pelanggan untuk mengimbas kod respon cepat (QR) yang dipaparkan oleh peniaga dengan telefon mereka untuk membuay bayaran.
Sekarang ini, lebih daripada empat juta daripada 11 juta pengguna perbankan Internet Maybank menggunakan perbankan mudah alih.
Sementara itu, Pengarah Urusan QSR Brands Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata syarikat itu mahu memperkenalkan QRPay kepada semua restoran KFC dan Pizza Hut menjelang suku pertama 2019.
“Bank Negara Malaysia meramalkan bahawa negara akan berubah menjadi masyarakat tanpa tunai menjelang 2020.
“Oleh itu, kami rasa integrasi opsyen pembayaran mudah alih seperti QRPay di restoran-restoran kami merupakan satu perkembangan yang wajar untuk memastikan QSR Brands tidak tertinggal dengan aliran ini (ke arah masyarakat tanpa tunai) dan kekal sebagai peneraju dalam perdagangan di Malaysia,” katanya.
Di bawah perkongsian itu, Maybank juga akan menyediakan kemudahan pembayaran QR melalui Alipay dan WeChat bagi kemudahan pengunjung dari China.
— BERNAMA