KUALA LUMPUR – Bayaran khas RM500 akan diberikan semua penjawat awam Gred 54 dan ke bawah sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada usaha dan dedikasi mereka dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Para pesara pula akan menikmati bayaran khas sebanyak RM250, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Jumlah bayaran khas kepada kira-kira 1.62 juta penjawat awam itu adalah sebanyak RM1 bilion dan akan dibayar hujung tahun ini.
“Berbanding dengan pentadbiran dahulu yang lazimnya menyalurkan bayaran khas pada tahun depan, Kerajaan Pakatan Harapan ini akan menyalurkan bayaran khas sebelum hujung tahun 2018 ini,” katanya.
Dalam pembentangan itu, Guan Eng turut melahirkan ucapan terima kasih kerajaan kepada para penderma Tabung Harapan Malaysia yang telah menyumbang sebanyak RM196.5 juta setakat minggu ini.
“Tabung Harapan Malaysia ini merupakan simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk membantu Kerajaan Persekutuan melangsaikan hutang negara yang diwarisi pentadbiran terdahulu.
“Akaun Amanah Tabung Harapan Malaysia akan ditutup pada 31 Disember 2018,” katanya. – MalaysiaGazette