KUALA LUMPUR – Hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 termasuk dividen khas Petronas dijangka RM261.8 bilion atau 17.1 peratus daripada KDNK.

Walaupun terdapat pengurangan yang signifikan dalam cukai berasaskan kepenggunaan, hasil cukai dianggarkan RM176.2 bilion dan menjadi komponen utama dalam hasil keseluruhan.

Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 berkata, peratusan hasil cukai kepada KDNK menyusut sedikit kepada 11.5 peratus berbanding 22.2 peratus pada tahun ini.

Kutipan cukai langsung merangkumi 76.7 peratus kepada hasil cukai dianggar RM135.1 bilion iaitu meningkat 1.2 peratus berbanding anggaran disemak pada tahun 2018.

Peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan individu dan petroleum (PITA) yang lebih tinggi sebanyak RM18.1 bilion berbanding anggaran RM16.8 bilion pada 2018 berikutan andaian harga minyak yang sederhana.

Cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat (CITA) diunjur mencatatkan RM5 bilion dan RM70.2 bilion.

Hasil cukai langsung lain merangkumi duti setem, cukai keuntungan hartanah (CKHT) dan cukai lain dijangka naik RM4.4 peratus kepada RM8.2 bilion.

Peningkatan duti setem kepada RM6.3 bilion dan CKHT kepada RM1.8 bilion selaras dengan pasaran harta tanah yang dijangka stabil.

Kutipan cukai tidak langsung pula dianggar berkurangan kepada RM41.1 bilion.

Tetapi pengenalan semula SST dijangka menyumbang RM22 bilion kepada jumlah keseluruhan hasil cukai tidak langsung.

Kutipan duti eksais pada tahun depan dijangka meningkat kepada RM11.4 bilion berikutan permintaan lebih tinggi ke atas kenderaan bermotor.

Duti eksport pula kekal pada RM1.6 bilion selatas dengan andaian harga minyak dunia yang stabil.

Manakala hasil bukan cukai pula diunjur melonjak kepada RM85.7 bilion disumbangkan oleh kutipan faedah dan pulangan pelaburan lebih tinggi.

Hasil lesen dan permit pula dianggarkan meningkat sebanyak 6.0 peratus kepada RM15.6 bilion, dipacu oleh royalti petroleum, lesen kenderaan bermotor dan levi pekerja asing. – MalaysiaGazette