Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2019 berhubung langkah kutipan semula Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sangat membebankan golongan graduan berpendapatan rendah.

Perkara itu disuarankan, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berikutan ucapan bajet oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen, Jumaat lalu.

Menurutnya, mahasiswa serta anak muda Malaysia sangat terkejut dengan polisi yang diumumkan oleh kerajaan itu.

“PTPTN adalah sebuah perbadanan yang telah wujud sejak 1 Julai 2018 dibawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta566).

“Ia diwujudkan ketika Najib Razak menjadi Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri pada waktu itu ialah Tun Dr Mahathir.

“Sehingga ke 31 Januari 2017 kerajaan Malaysia telah mengeluarkan dana sebanyak RM48.7 bilion dan daripada tempoh itu, kerajaan sepatutnya telah berjaya mengumpulkan dana daripada para peminjam sebanyak RM18.8 bilion.

“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana hanya RM10.8 bilion dana yang berjaya dikutip,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Faizzuddin berkata, sebelum ini, Pengerusi PTPTN, Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan, seramai 2.6 juta peminjam tidak mampu melunaskan hutang mereka.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 663,000 peminjam yang langsung tidak pernah membayar hutang PTPTN walaupun satu sen.

“Ini adalah polisi yang sangat membebankan anak muda khususnya buat mereka graduan muda yang terpaksa ikat perut untuk membina kehidupan secara berdikari selepas mereka menamatkan pengajian mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, ini adalah permasalahan yang hakiki dan sepatutnya kerajaan PH memahami masalah golongan anak muda yang tidak mampu untuk membayar hutang PTPTN dan mengambil sikap membantu rakyat bukannya mengambil kesempatan di atas kelemahan atau kesempitan ekonomi anak muda.

Katanya, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Statistik Tenaga Buruh Malaysia 2017, kadar pengangguran kian meningkat bagi setiap tahun iaitu 3.5 peratus bagi tahun 2017 berbanding 3.1 peratus bagi tahun 2015.

Di samping itu tambahnya, menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan Mahasiswa, 2015), sebanyak 54 peratus mahasiswa yang mampu berkerja hanyalah mempunyai gaji RM2000 dan ke bawah.

Tambah beliau, Gamis dapat memahami bahawa majoriti anak muda Malaysia tidak mempunyai gaji yang besar dan apabila polisi potongan gaji sebanyak 2 peratus hingga 15 peratus itu diperkenalkan akan membebankan peminjam.

Sebaliknya kata beliau, ia bakal menambah beban anak muda untuk terus hidup mendepani cabaran kos sara hidup yang tinggi khususnya buat mereka yang memulakan hidup mereka di kawasan bandar.

“Kos sara hidup yang tinggi, nilai mata wang Malaysia yang rendah, dan peluang pekerjaan tenaga mahir yang rendah dan pendapatan (gaji) yang rendah bagi graduan baru adalah beban sedia ada yang terpaksa dihadapi oleh anak muda Malaysia hari ini.

“Kerajaan PH seolah-olah telah melupai tujuan perjuangan mereka untuk membela nasib golongan graduan dan golongan berpendapatan rendah apabila sudah menikmati gaji-gaji yang menggunung selepas menjadi menteri di dalam kerajaan Malaysia.

“Bebanan ini juga bakal memberikan kesan domino iaitu akan lebih ramai anak muda lepasan SPM yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah takut untuk menghantar anak mereka ke pengajian yang lebih tinggi ekoran daripada beban hutang yang sangat menekan dan menzalimi golongan yang berpendapatyan rendah,” katanya lagi.

Ujarnya, kerajaan sepatutnya menyediakan satu mekanisme yang tuntas untuk membantu rakyat keseluruhan sama ada mereka miskin atau kaya untuk mendapat pendidikan tanpa didiskriminasi selaras dengan perlembagaan Malaysia Perkara 12.

“Kami mahasiswa konsisten mengatakan bahawa kerajaan wajib membantu rakyat untuk menikmati pelajaran bermula daripada pengajian rendah hinggalah ke pengajian yang tertinggi,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast