Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Khas OKU pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas sempena Hari Kanak-kanak, OKU dan Warga Emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 05 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Buli siber dalam kalangan kanak-kanak kini semakin membimbangkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebanyak 86 kes dilaporkan bavi tempoh 2014 hingga tahun ini.

Ujar Wan Azizah, pendedahan terhadap bahaya itu timbul apabila kanak-kanak pada masa ini sinonim dengan menggunaan internet untuk pelbagai tujuan termasuk pembelajaran. 

“Di satu sisi lain terdapat risiko ancaman siber yang mampu menggugat kelestarian dan kesejahteraan kanak-kanak. 

“Antaranya seperti pornografi, sexting dan fenomena buli siber yang semakin menular,” katanya ketika berucap pada majlis  perasmian Penutupan Persidangan Kelestarian Kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Warga Emas. 

Dalam pada itu Wan Azizah yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, golongan OKU tidak terbatas hanya kerana fizikalnya namun ia juga dipengaruhi oleh peluang dan kemudahan yang terhad.

Kemudahan-kemudahan untuk OKU perlu terus dipertingkatkan kerana golongan ini turut menyumbang kepada ekonomi negara, kata beliau. 

“Perkara ini menghalang OKU dalam banyak aspek khususnya pendidikan dan pekerjaan.

“Bagi OKU pekerjaan bukanlah sekadar pendapatan semata-mata tetapi proses pemulihan dan sosial untuk mereka menjadi sebahagian daripada masyarakat,” ujarnya. 

Sementara itu, beliau menyarankan kerajaan mengambil kira faktor peningkatan populasi warga emas dalam proses menggubal dasar dan agenda negara bagi memastikan kumpulan ini tidak tersisih.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  itu dalam masa yang sama  menerima tiga resolusi kanak-kanak, OKU dan warga emas daripada wakil peserta persidangan hari ini.

Antara yang terkandung dalam resolusi bagi kanak-kanak adalah merangka satu kaedah intervensi awal dalam mengenal pasti perubahan tingkah laku pelajar sekolah yang berkemungkinan menjadi pembuli atau mangsa buli siber dan juga meningkatkan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dan konsisten bagi membendung jenayah siber yang berleluasa dalam kalangan kanak-kanak.

Bagi, OKU pula ialah resolusi tentang menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi secara langsung atau tidak langsung.

Resolusi bagi warga emas adalah penelitian pewujudan Akta Warga Emas yang komprehensif bagi meningkatkan tanggungjawab sosial dalam kalangan badan korporat untuk memperkasa peranan industri penjagaan swasta bagi warga emas dan meningkatkan kesedaran.- MalaysiaGazette