Datuk Shamsubahrin Ismail
Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media mengenai Kementerian Pengangkutan di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pemandu-pemandu teksi kesal dengan sikap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang didakwa memutarbelitkan tuntutan mereka agar penyedia perkhidmatan e-panggilan khususnya Grab dimansuhkan.

Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail menegaskan, pihaknya tidak pernah menuntut lebih 40 syarikat e-hailing di negara ini ditutup.

“Menteri jangan putar belitkan kata-kata pemandu teksi. Kami bukan mahu Grab dihapuskan. Kami cuma mahu pemandu-pemandu Grab atau e-panggilan disamaratakan daripada segi harga dan syarat yang dikawal oleh kerajaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Central hari ini.

MGF05112018_SIDANG MEDIA BIG BLUW TAXI_08
Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media mengenai Kementerian Pengangkutan di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 NOVEMBER 2018

Pada Khamis lalu, Anthony dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan pemandu teksi mahu syarikat e-panggilan yang menggunakan kereta persendirian, khususnya Grab diharamkan.

Anthony berkata, kementerian telah merangka formula menang-menang untuk menjaga kebajikan pemandu teksi dan pemandu yang menggunakan perkhidmatan syarikat e-panggilan.

Shamsubahrin juga menegaskan, menteri harus berhenti mengatakan pemandu teksi perlu mengikut peredaran zaman sedangkan pemandu teksi lebih awal menggunakan teknologi sebelum Uber dan Grab diperkenalkan di negara ini.

“Ini kerana permulaan aplikasi e-penggilan ini dimulakan oleh aplikasi MyTeksi dan kini ditukar nama kepada Grab.

“Kita sudah bersedia dari awal lagi, jangan memutarbelitkan kita kena bertukar fikiran, tukar corak kita.

“Saya amat hormati Anthony Loke, jangan keluarkan kenyataan seperti ini. Cuma perlu mengaku di mana anda sendiri ada masalah dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk kuat kuasa apa yang dijanjikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast