Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada majlis pelancaran lima buah buku termasuk Hang Tuah: Catatan Okinawa yang diterjemah ke dalam bahasa Jepun di gedung Kinokuniya Shinjuku di Tokyo.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada majlis pelancaran lima buah buku termasuk Hang Tuah: Catatan Okinawa yang diterjemah ke dalam bahasa Jepun di gedung Kinokuniya Shinjuku di Tokyo.

KUALA LUMPUR – Lima buah buku termasuk Hang Tuah: Catatan Okinawa yang diterjemah ke dalam bahasa Jepun dilancarkan di Tokyo hari ini.

Berucap menyempurnakan majlis pelancaran, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, usaha ini merupakan inisiatif kerjasama antara Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Japan Malaysia Association (JMA) dengan sokongan tiga universiti awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Selain Hang Tuah: Catatan Okinawa, turut dilancarkan Islamic Finance Fundamentals With Applications in Malaysia; The Basics of Islamic Finance With Applications in Malaysia; Halal: All That You Need To Know; dan Beautiful Malaysia.

Maszlee berkata, pelancaran lima judul itu merupakan permulaan kepada lebih banyak lagi projek terjemahan dan penerbitan buku-buku Malaysia ke bahasa Jepun yang akan diusahakan dalam masa terdekat.

Katanya, usaha terjemahan dan penerbitan buku ini penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Ia dilancarkan di gedung Kinokuniya Shinjuku di Tokyo.

Turut hadir Presiden Kinokuniya Co. Ltd., Masashi Takai dan Pengarah Eksekutif JMA, Takakazu Ogawa. Profesor Dato’ Dr. Nor Aeni Mokhtar, Naib Canselor UMT; Profesor Madya Dato’ Dr. Noraien Mansor, Pengarah Penerbit UMT; Kamariah Mohd Saidin, Pengarah Penerbit UPM; dan Siti Rafiah Sulaiman, Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan ITBM hadir sama.

maszlee2
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada majlis pelancaran lima buah buku termasuk Hang Tuah: Catatan Okinawa yang diterjemah ke dalam bahasa Jepun di gedung Kinokuniya Shinjuku di Tokyo.

Menurut Maszlee, usaha itu bertepatan dengan kempen Dekad Membaca Kebangsaan yang digerakkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KLBACA! iaitu kempen Kuala Lumpur ke arah Kota Buku Dunia 2020.

“KPM akan teruskan usaha untuk memastikan aktiviti penterjemahan bergiat lebih aktif termasuk terjemahan buku-buku dalam bahasa Melayu ke bahasa asing serta dari bahasa asing ke bahasa Melayu. Ini akan meningkatkan ekonomi penterjemahan.

“Dalam masa yang sama akan ada pemindahan pengetahuan dalam bidang penterjemahan. Ini penting supaya semua kajian kita dirujuk termasuk karya universiti-universiti tempatan,” kata beliau.

Malah kata beliau, KPM akan memastikan universiti-universiti awam menjadi penggerak utama program terjemahan dengan kerjasama ITBM.

“Selain itu, pelancaran hari ini juga membuka peluang kepada sektor halal Malaysia untuk berkembang termasuk program latihan untuk industri halal di Jepun dan negara-negara lain selepas ini. Peluang ekonomi yang besar kepada kedua-dua negara,” kata Dr Maszlee.

Menurut beliau, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara ITBM, JMA dan Kinokuniya Jepun bagi pengedaran buku-buku terbitan ITBM dan JMA di kedai-kedai buku terpilih Kinokuniya di Jepun.

Melalui MoU ini, buku-buku hasil kerjasama ITBM dan JMA boleh didapati di pasaran Jepun, sekali gus menyebar luas karya penerbitan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Program pelancaran ini diadakan sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast