KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim telah disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian tanah milik Kementerian Kewangan bernilai RM2 bilion.
Beberapa pegawai BNM turut disiasat oleh SPRM membabitkan tanah seluas 55.79 ekar yang dikenali sebagai Lot 41.
Muhammad telah disoal siasat beberapa kali.
“Kami telah mengambil kenyataannya dan juga dari beberapa pegawai BNM yang lain. Siasatan oleh SPRM membabitkan penjualan tanah,” kata sumber yang dipetik oleh The Star.
Sumber itu juga memberitahu, bahawa SPRM sedang menjejaki wang RM2 bilion sementara ia menyerahkannya kepada BNM untuk menyiasat sama ada ia merupakan perjanjian yang bersih.
“Jika BNM mahu menyiasat pegawainya sendiri, itu adalah siasatan dalamannya sendiri. Kami tidak akan campur tangan,” kata sumber itu.
Ditanya sama ada pegawai-pegawai kanan atau pengurusan tertinggi yang dipanggil, sumber hanya berkata: “Banyak orang”.
Pada 31 Oktober lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, seseorang dalam BNM “jelas tahu” apa yang berlaku kepada hasil penjualan tanah itu.
BNM mengeluarkan satu kenyataan pada hari yang sama, dengan mengatakan bahawa ia telah menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji semula proses-proses tersebut dan akan memaklumkan hasil siasatan.
Malah, empat pegawai BNM turut menawarkan diri untuk mengambil cuti.
Difahamkan empat pegawai itu termasuk penolong gabenor dan bekas penolong gabenor. – MalaysiaGazette