KUALA LUMPUR – Tawaran diskaun saman sebanyak 50 peratus di Kuala Lumpur dan sebahagian tempat di Selangor menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan.
Berikutan fenomena luar biasa orang berbaris panjang untuk menjelaskan saman, kaunter Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berjaya mengutip saman bernilai RM700,000 sehari.
Diskaun sempena Deepavali itu ditawarkan di ibu pejabat JSPT dari 7 hingga 9 November sementara diskaun diberikan di Klang Utara selama dua hari dari 7 hingga 8 November.
China Press melaporkan, JSPT Kuala Lumpur yang sepatutnya beroperasi sehingga 4.30 petang telah melanjutkan operasinya pada Rabu kepada 8 malam kerana ramai orang mahu menjelaskan saman.
Pada Khamis pula, orang ramai mula membanjiri untuk membayar saman seawal pukul 6 pagi.
Tinjauan wartawan mendapati terdapat orang yang mengambil kesempatan diskaun untuk menjelaskan sehingga 20 saman yang tertunggak.
Seorang pekerja pula membawa RM17,000 tunai untuk menjelaskan 90 saman bagi pihak syarikatnya. – MalaysiaGazette