KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mengiktiraf perjumpaan sekumpulan tertentu di sebuah hotel di Seri Kembangan semalam, kononnya untuk memilih Ahli Jawatankuasa Petsatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi penggal 2017-2021.
Titah Raja Muda, pelantikan baginda oleh kumpulan berkenaan sebagai Presiden FAS adalah tidak sah dan tidak mendapat persetujuannya.
“Beta dimaklumkan telah terdapatnya sebuah perjumpaan yang kononnya kongres luar biasa yang diadakan pada 8 November 2018 jam 8 malam di Nouvelle Hotel, Seri Kembangan untuk memilih Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Selangor yang baharu untul penggal 2017-2021.
“Dalam ‘perjumpaan’ tersebut, beta telah kononnya dipilih sebagai Presiden FAS oleh kumpulan yang menghadiri ‘perjumpaan’ itu tanpa persetujuan daripada beta,” titah Raja Muda dalam satu kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Berikutan beberapa memo yang telah diedarkan oleh Sekretariat Agung FAS yang mempertikaikan kesahihan ’perjumpaan’ itu, Tengku Amir Shah sekali lagi ingin menekankan ia tidak sah, selain tidak mengikut prosedur yang betul dan tidak diiktiraf oleh baginda dan juga persatuan.
FAS telahpun mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak isu itu timbul dan segala maklumat serta bukti mengapa ‘perjumpaan’ itu tidak sah telahpun diberikan.
“Pendirian beta mengenai kesahihan ‘perjumpaan’ yang kononnya telah diadakan tersebut adalah terbatal dan tidak sah kerana ia tidak memenuhi Artikel 30 yang termaktub dalam Statut FAS.
“Mereka juga gagal untuk memberi sebarang bukti kepada PSM dan FAM untuk menunjukkan mereka mempunyai korum yang secukupnya untuk mengadakan kongres apabila telah diminta untuk berbuat demikian,” titah baginda.
Tambahan itu, titahnya, kumpulan tersebut juga gagal untuk mendapat korum yang secukupnya semasa kononnya ‘perjumpaan’ kongres tersebut diadakan semalam.
“Dengan demikian beta menolak dan tidak mengiktiraf sebarang keputusan yang telah diadakan pada perjumpaan yang kononnya ‘kongres’ tersebut diadakan pada 8 November 2018, termasuk kononnya ahli jawatankuasa FAS yang baharu dilantik,” titah Tengku Amir Shah. – MalaysiaGazette