KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman meluahkan rasa pelik dengan pemilihan peserta-peserta yang mara ke final Gegar Vaganza musim kelima (GV5).
Penaja utama konsert GV5 itu berpendapat, sepatutnya ada dalam kalangan finalis itu disingkirkan pada peringkat separuh akhir program yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.
“Siapa patut tersingkir sebenarnya?? Juri oh juri,” katanya menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya, hari ini.
Aliff Syukri turut memuatnaik gambar bersama dua anggota kumpulan Forteen, One dan Izzue Islam yang tersingkir menerusi status berkenaan.
“Saya peliklah kenapalah kumpulan Forteen yang ‘best’ ni yang terkeluar sedangkan ada yang lagi teruk dan sumbang-mambang menyanyi, tapi tetap masuk final?
“Saya malas nak tulis lebih-lebih, nanti ada yang terasa,” tambahnya.
Selain kumpulan Forteen, turut tersingkir pada peringkat separuh akhir GV5 adalah penyanyi Hetty Sarlene.
Penyingkiran itu menyaksikan enam peserta lain iaitu Amelina, Zamani, Maya Ruslee, Noryn Aziz, Dia Fadilla dan kumpulan duo Billy Zulkarnain berentap merebut gelaran juara pada peringkat akhir yang akan berlangsung minggu hadapan.
Peserta tersingkir pada peringkat separuh akhir itu, Hetty menyampaikan dua buah lagu, Pencuri Hati nyanyian asal Ayda Jebat dan Kemaafan Dendam Yang Terindah (Aishah).
Forteen pula mempersembahkan lagu Potret (Akim & The Majistret) dan Cinta Di Akhir Garisan (Ziana Zain, Ning Baizura, Nora, Dessy Fitri).
Kesemua peserta diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Yusof Haslam. – MalaysiaGazette