Maszlee
Gelagat Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bercakap selepas meninjau calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 16 (1), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata penggantinya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah disenarai pendek.

Malah katanya, senarai itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIA.

“Saya telah kenal pasti beberapa calon dan akan bawa kepada Perdana Menteri dan Sultan Pahang sebagai Ketua Perlembagaan UIA untuk dinilai dan individu itu mestilah terkenal di peringkat antarabangsa dan boleh meyakinkan duta-duta yang menganggotai Lembaga Pengarah UIA, dan mereka yang samada graduan UIA atau pernah berkhidmat di sana.

“Paling penting adalah orang yang terkenal di peringkat antarabangsa dan mempunyai reputasi yang amat tinggi dan kita telah kenalpasti beberapa tokoh dan akan dibawa kepada Perdana Menteri,” katanya semasa mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1) sempena hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jumaat lalu, Maszlee bersetuju untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UIA.

Bagaimanapun, peletakan jawatannya itu tidak akan berkuatkuasa serta-merta kerana beberapa isu berkaitan perlu diselesaikan termasuk mencari pengganti yang bakal memegang jawatan terbabit.

Maszlee turut menambah bahawa sebarang pelantikan kepada jawatan itu tidak akan melibatkan lantik ahli politik.

“Sudah tentu tidak akan ada ahli politik dilantik sebagai Presiden UIA,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan akan menganjak beberapa matapelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Maszlee, semua mata pelajaran ringan akan diawalkan mulai tahun depan bagi mengelakkan berlakulah kelewatan ekoran banjir.

“Mula tahun hadapan subjek ini akan dibawa ke hadapan untuk periksa dahulu supaya subjek lain agar subjek ini tidak menghadapi cabaran seperti banjir dan sebagainya.

Antaranya adalah matapelajaran seperti bahasa dan elektik yang boleh diselesaikan pada penghujung September dan awal November. – MalaysiaGazette