Datuk Seri Ronald Kiandee. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan mengadakan prosiding berhubung Laporan Jabatan Audit Negara berkenaan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula 4 Disember ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata PAC juga sudah mendapat pandangan Peguam Negara Tommy Thomas bagi mengadakan prosiding ini dan dimaklumkan bahawa ia tidak akan mengganggu kes pendakwaan 1MDB yang akan berlangsung di mahkamah.

Menurutnya prosiding ini bakal menyiasat sama ada wujud sebarang kekangan dan halangan yang dihadapi Jabatan Audit Negara (JAN) dalam melaksanakan pengauditan pada 1MDB.

“PAC juga akan melihat jika terdapat sebarang ubah suai terhadap fakta serta maklumat dalam laporan pengauditan 1MDB berkenaan sebelum dibentang kepada PAC Parlimen ke-13.

“PAC akan memulakan prosiding ini pada minggu pertama Disember dengan memanggil mantan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sebagai saksi pertama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, timbalan pengerusi PAC Wong Kah Woh mendakwa pindaan telah dibuat semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, dan menurutnya beberapa agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara turut ‘dilumpuhkan’ untuk menyiasat isu berkenaan ketika itu.- BERNAMA