MADRID – Santiago Solari dijangka kekal sebagai pengurus tetap Real Madrid tidak lama lagi.
Ini kerana Real Madrid sedang menyediakan kontrak untuk beliau.
Persatuan Bola Sepak Sepanyol memberitahu, pihaknya telah menerima kontrak Solari dari kelab La Liga tersebut walaupun pengumuman rasmi belum dilaksanakan.
Solari mengambil alih kejurulatihan kelab itu pada 29 Oktober lalu selepas pengurus Real, Julen Lopetegui dipecat.
Sejak memulakan tugas sebagai jurulatih sementara Real, jurulatih berusia 42 tahun itu berjaya merekodkan empat kemenangan dan disifatkan sebagai permulaan terbaik mana-mana pngurus dalam sejarah kelab itu.
Real perlu bertindak segera melantik pengurus tetap dan undang undang Sepanyol melarang jurulatih interim bertugas lebih daripada dua minggu.
Di bawah bimbingan Solari Real berjaya menjinakkan pasukan Melilla dalam aksi Copa del Rey, Viktoria Plzen dalam kempen Liga Juara Juara Eropah, Real Valladolid dan Celta Vigo dalam aksi La Liga.
Daripada empat aksi itu, Real menjaringkan 15 gol dan hanya dibolosi dua kali, sekali gus melonjak dari tangga ke sembilan ke tangga keenam dalam carta, dengan perbezaan 4 mata dengan pendahulu liga, Barcelona.- MalaysiaGazette