Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis akan menjalankan risikan dan tinjauan rapi bagi mengenalpasti tadika dan pusat asuhan kanak-kanak haram di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, unit khas polis iaitu Amanita akan digerakkan secara total untuk melaksanakan misi perintis itu.

“Kita ada kemampuan..polis ada di merata tempat dan akan kita gunakan segala sumber sedia ada seperti Amanita pertama kali untuk survey berapa banyak tadika yang haram beroperasi dan bersembunyi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama timbalannya, Hannah Yeoh ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman  petang tadi.

Noor Rashid mengakui bahawa polis sedia maklum kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka kepada jiran atau pengasuh persendirian yang tidak terjamin keselamatan.

“Cuma sekarang kita nak bincang apa langkah (pencegahan) seterusnya dalam menangani jenayah melibatkan kanak-kanak dengan pihak kementerian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noor Rashid menyatakan kesediaan polis untuk membantu ibu bapa dalam soal keselamatan anak selepas ditanya sama ada polis akan menyediakan kemudahan kepada ibu bapa menyemak latar belakang pengasuh atau pengusaha pusat kanak kanak.

Beliau turut diminta menjawab kenyataan kenapa kerajaan tidak mahu bertindak ke atas ibu bapa kanak kanak berusia sembilan bulan yang mati didera secara seksual kerana cuai dalam menjaga anaknya.

“Setiap kematian ada kertas siasatan yang dibuka polis dan kalau ada kecuaian ketara tindakan akan menyusul jika ada kesalahan ketara di bawah Akta Perlindungan Kanak- Kanak.

“Tapi persoalannya yang mana harus diberi keutamaan, bergantung kepada timbalan pendakwaraya, siapa harus diambil tindakan. Bagaimanapun pihak Peguam Negara mempunyai kriteria tertentu untuk dipertimbangkan sebelum bertindak ke atas ibu bapa,” ujarnya.

Ditanya sama ada siasatan kes kematian bayi sembilan bulan itu akan diambil alih oleh Bukit Aman, Noor Rashid berkata; “Bila kes agak sukar dan menarik perhatian, Bukit Aman akan mengambil tindakan.”

“Setakat ini saya kena semak dahulu..jika tidak ambil alih pun kita akan memantau dan memeriksa kertas siasatan untuk tindakan lanjut,” tegas beliau.- Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast