PUTRAJAYA – Merasakan wujud konspirasi pada Pemilihan PKR bagi cabang Petra Jaya di Kuching 11 November yang lalu, calon Ketua Cabang, Iswardy Morni hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau mendakwa wujud perkara yang sungguh meragukan apabila tarikh pemilihan ditukar sebanyak empat kali dalam masa yang cukup singkat sehingga mengakibatkan ramai pengundinya tidak dapat hadir pada 11 November yang lalu.
“Pemilihan parti Petra Jaya sepatutnya berlaku pada 10 November dan saya bertanding Ketua Cabang Petra Jaya melawan penyandang Baharuddin Mokhsen.
“Pada 7 November saya dapat notis tukar kepada 11 November, jadi saya buat bantahan sebab notis jangka masa pendek tiga hari sebelum pemilihan
“Pada 8 November dapat notis ditukar kembali kepada 10 November jadi bila tukar saya puas hati. Malam pada 9 November tukar kembali kepada 11 November notis terlalu lambat sedangkan dalam website kata 10 November.
“Ramai di antara pengundi saya tidak boleh hadir kerana pertukaran tarikh, jadi saya rasa tidak adil bagi pihak saya dan pengundi yang datang 11 November.
“Ini satu cubaan untuk mengganggu proses pemilihan tersebut dan dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa. Ada konspirasi dalam pemilihan kali ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM sebentar tadi.
Tambahnya situasi ini jelas menunjukkan wujud cubaan mengganggu proses pemilihan.
“Saya nampak kalau pemilihan tarikh itu boleh ditukar secara tiba-tiba macam ada sesuatu yang cuba dilakukan sampaikan pengundi saya ada yang tidak boleh hadir pada 11 November,” ujarnya yang hadir ke SPRM seorang diri.
Justeru Iswardy menegaskan telah hilang kepercayaan terhadap Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang gagal melangsungkan pemilihan dengan harmoni.
Laporannya hari ini dibuat agar JPP bukan sahaja setiap ahli yang bertanding perlu memandang serius tentang proses pemilihan bahkan jawatankuasa itu juga perlu bertindak sedemikian.
“Saya hilang kepercayaan dengan JPP dalam pengurusan pemilihan tapi saya tidak hilang kepercayaan dengan parti.
“Saya ada buat bantahan di peringkat JPP sudah hantar surat dan ini susulannya (ke SPRM). Kita kena tunjukkan seriusnya kita terhadap perkara ini,” tambahnya.
Iswardy turut menjangkakan terdapat laporan yang dibuat oleh ahli lain dalam masa terdekat kerana proses pemilihan yang cukup mecurigakan. -MalaysiaGazette