KUANTAN – Seorang datuk berusia 58 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol cucunya, Ogos lalu.
Tertuduh yang berasal dari Bachok, Kelantan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan.
Dia didakwa merogol cucunya yang berumur sembilan tahun pada Ogos lalu di ruang tamu sebuah rumah di Jaya Gading, di sini.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat sekurang-kurangnya 10 kali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh ditangkap pada 2 Nov lalu selepas ibu kepada mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari tidak menawarkan jaminan dan tertuduh juga tidak mengemukakan sebarang rayuan.
Siti Aminah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 19 Dis depan.
— BERNAMA