SINGAPURA – Kapal mewah Equanimity dipindahkan dari Pelabuhan Klang ke Langkawi kerana ia perlu bergerak, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, kapal itu tidak boleh disimpan di dermaga sepanjang masa kerana ia boleh menimbulkan masalah, seperti kekerang melekat.
Equanimity yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiba di Langkawi semalam untuk berlabuh sementara waktu selepas berlayar dari Pelabuhan Klang.
“Kapal mesti bergerak. Ia perlu berlayar sekurang-kurangnya sekali dalam beberapa hari,” kata Dr Mahathir selepas mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Australia, Scott John Morrison pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33.
Equanimity sepanjang 92 meter kini berlabuh di jeti ibu pejabat Tentera Laut Diraja Laut 3 (Mawilla 3) di Bukit Malut, Langkawi.
“Mahkamah telah memutuskan Equanimity milik Malaysia. Kita boleh meletakkannya di mana-mana tetapi, tentu saja, keutamaan kita bukan untuk menyimpan kapal itu.
“Kami tidak memerlukan kapal yang besar seperti itu. Ia terlalu mewah untuk kami.
“Kami mahu menjualnya, jika anda boleh mencari pembeli, beritahu kami,” katanya.
Pada 26 Oktober, Mahkamah Admiralty meluluskan terma dan syarat untuk pembidaan kapal itu dari 29 Oktober hingga 28 November.
Equanimity yang bernilai AS$ 250juta itu adalah milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB untuk membeli aset tersebut.
Kerajaan Malaysia mengambil alih kapal dari Bali, Indonesia pada bulan Ogos lalu.
Dr Mahathir, yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi menambah: “Terima kasih atas berita (mengenai Equanimity). Saya harap apabila saya pergi ke Langkawi saya boleh melawat”. – MalaysiaGazette