Khashoggi
Jamal Khashoggi dilihat memasuki bangunan konsulat pada 2 Oktober lalu dan tidak keluar dari premis berkenaan. foto BBC

ISTANBUL – Turki mempunyai lebih banyak buktti mengenai pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi, termasuk rakaman audio kedua dengan durasi lebih panjang yang berlawanan dengan penemuan dakwaan Pendakwa Raya Arab Saudi terhadap suspek pembunuhan itu, lapor kolumis akhbar Hurriyet, Abdulkadir Selvi.

Semalam, Pendakwa Raya Arab Saudi memohon hukuman mati dikenakan ke atas lima pegawai, manakala mendakwa 11 suspek yang beliau tuduh membunuh Khashoggi di dalam konsulat negara itu pada 2 Oktober lalu.

Ketika mendakwa suspek-suspek itu, Pendakwa Raya tersebut juga menuduh mereka membunuh wartawan berkenaan selepas cuba samada memujuk Khashoggi untuk pulang ke Arab Saudi atau melakukanna dengan kekerasan selepas memberi dadah dan menculiknya.

Menurut kolumnis itu, beberapa penemuan dan bukti dalam siasatan yang dilakukan Turki menyangkal beberapa dakwaan Pendakwa Raya Arab Saudi tersebut terhadap pembunuhan itu.

“Khashoggi terdesak dalam cubaan untuk hidup dapat didengar dalam rakaman audio selama tujuh minit. Tiada petunjuk sesiapa cuba memujuknya,” kata Selvi.

“Para pegawai Turki juga tidak mengesahkan (dakwaan Pendakwa Raya Arab Saudi) bahawa Khashoggi telah dibunuh selepas mereka memberinya dadah. Mereka berkata bahawa dia dibelit dengan seutas tali atau sesuatu seperti beg plastik” tambah kolumnis itu.

Selain itu, terdapat petunjuk lain yang mencadangkan pembunuhan tersebut telah dirancang, termasuk pegawai forensik dalam ‘skuad pembunuh’ yang mengerat anggota mangsa dengan pantas dan individu mirip Khashoggi yang berjalan di sekitar kamera keselamatan di Istanbul selepas pembunuhan itu bagi mengaburi polis Turki.

Selvi menambah, bukti yang lebih kukuh mengenai pembunuhan yang dirancang itu boleh didengari dalam rakaman kedua.

Pada 22 Oktober lalu, kolumnis itu melaporkan kewujudan rakaman audio pertama yang ‘membuktikan Khashoggi dilemaskan dalam tempoh antara 7 hingga 8 minit’.

Pada hari ini, Selvi menulis bahawa rakaman kedua merekodkan perbualan 15 minit sebelum Khashoggi tiba di konsulat itu.

Dalam rakaman selama 15 minit itu, ‘pasukan Arab Saudi membincangkan bagaimana untuk membunuh Khashoggi. Mereka mengkaji semula rancangan yang telah disediakan sebelum itu dan mengngatkan diri masing-masing tentang tugas setiap ahli’, menurut kolumnis itu.

“Terdapat juga bukti daripada tempoh selepas pembunuhan. Turki memiliki panggilan telefon antarabangsa yang dilakukan 17 anggota skuad pembunuh Arab Saudi itu,” katanya. – Agensi