SHAH ALAM – PKR sebenarnya parti yang gagal, kata Perwakilan Perlis, Tengku Nazri.
Ini kerana anggota parti itu sering ‘bergaduh’ sesama sendiri hanya demi membuktikan kehebatan diri.
“Kita gagal.. tuan-tuan dan puan-puan, kita gagal sebenarnya. Kita berkelahi seolah-olah esok dah tak ada. Kita bergaduh kerana apa? Kerana nak tunjuk siapa lagi hebat,” katanya ketika sesi perbahasan Kongres Nasional parti itu yang Ke-13 hari ini.
Menurut Tengku Nazri, PKR tidak memerlukan lebih daripada satu pahlawan sebaliknya cukup hanya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja.
“Kita bina hidup baru, kita bina parti baru hari ini di dalam PKR ada Anwar Ibrahim kita angkat sebagai presiden di dalam parti kita tidak perlu ada dua pahlawan cukup Anwar sebagai pemimpin kita,” tegasnya.
Kemudian beliau menyebut secara khusus kepada pasukan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli supaya menghentikan pertelagahan sesama mereka.
Ujar Tengku Nazri, sudah tiba masanya untuk kembali bersama-sama kerana pemilihan sudah berakhir.
“Saya minta kita semua hari ini saya rayu tuan-tuan dan puan-puan dalam dewan menang kita dah menang, Putrajaya kita sudah sampai, (Ketua Umum PKR) Anwar Ibrahim sudah kita bawa keluar, sudah duduk dengan Datuk Seri Wan Azizah (Wan Ismail) sekarang masa kita mengisi kemenangan
“Saya minta team Rafizi, team Azmin Ali hari ini hentikanlah, masa yang ada sudah habis,” ujarnya sambil mendapat sambutan seluruh dewan yang berdiri sebagai tanda sokongan.
Tidak lama kemudian, Mohamed Azmin berdiri dan menghampiri Rafizi sebelum mereka saling bertaut tangan antara satu sama lain.
Dalam masa yang sama, perwakilan daripada Perlis itu menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Jawatankuasa Pemilihan Pusat apabila gagal menangani isu yang tercetus semasa proses pemilihan.
Malah beliau menggesa agar JPP dihantar ke India untuk belajar cara mengira undi.
“Tolong tengok pemilihan akan datang kita tidak mahu pemilihan macam ini (sambil disokong oleh semua perwakilan dalam dewan).
“Buatlah pembaharuan yang keluar mengundi tidak sampai 12,000 tapi berapa hari kita kira tidak habis lagi. Saya nak bagitau India ada berpuluh juta pengundi, tak lah terlalu susah sampai macam mana ini.
“Saya minta presiden hantat JPP ke India tolong belajar kira undi,” menurutnya. -MalaysiaGazette