WASHINGTON – Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) membuat kesimpulan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman merupakan dalang dalam pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi.

Agensi penyiaran CNN melaporkan, CIA dalam laporan siasatan mereka mendapati Putera Mohammed secara ‘peribadi’ telah mengarahkan pembunuhan Khashoggi yang ketika itu merupakan wartawan Washington Post.

Menurut sumber yang bercakap dengan CNN, kesimpulan itu dibuat selepas sebuah siasatan menyeluruh dilakukan oleh CIA selain daripada rakaman yang diperolehi daripada kerajaan Turki bersama-sama bahan bukti lain.

Bagaimanapun, kesimpulan siasatan CIA ini bercanggah dengan rumusan yang dibuat pihak pendakwa raya Arab Saudi kelmarin yang membebaskan Putera Mohammed daripada sebarang penglibatan dalam pembunuhan berkenaan.

Berdasarkan hasil penemuan CIA, seramai 15 ejen Arab Saudi menggunakan pesawat kerajaan ke Istanbul dan membunuh mangsa di pejabat konsulat Arab Saudi.

Kata sumber CIA itu, Putera Mohamad juga memiliki kuasa mutlak yang sangat besar malah dianggap,sebagai ‘tidak logik’ beliau tidak mengetahui operasi pembunuhan Khashoggi tanpa pengetahuannya.

“Dengan kedudukan yang dimiliki oleh Putera Mohamad tidak mungkin beliau tidak mengetahui atau menyedari apa yang berlaku.

Hasil siasatan CIA ini juga telah disifatkan akan mengancam hubungan sedia tegang antara Washington dengan Riyadh yang merupakan sekutu utamanya dalam menamatkan isu pembunuhan Khashoggi.

Riyadh juga telah menolak desakan antarabangsa untuk mengadakan siasatan bersama berhubung misteri pembunuhan ini walaupun beberapa membuat kenyataan penafian.

Sebelum ini, Turki mendedahkan lebih banyak bukti mengenai pembunuhan Khashoggi termasuk rakaman audio kedua dengan durasi lebih panjang yang berlawanan dengan penemuan dakwaan Pendakwa Raya Arab Saudi terhadap suspek pembunuhan itu.

Perenjat elektrik, pisau dan gunting bedah merupakan antara alatan yang dipercayai digunakan oleh sekumpulan pembunuh upahan Arab Saudi untuk menyeksa dan membunuh Khashoggi  di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Ianya telah didedahkan oleh akhbar rasmi Turki, Sabah menerusi beberapa imej imbasan sinar X beg pakaian milik anggota kumpulan tersebut ketika mereka meninggalkan Turki.

Pendedahan itu secara tidak langsung menggambarkan bahawa kematian Khashoggi sememangnya dirancang lebih awal dan bukannya tidak disengajakan seperti didakwa Arab Saudi sebelum ini.

Selain itu, beberapa alatan elektronik juga ditemukan dalam beg-beg berkenaan yang digunakan sebagai alat komunikasi sesama mereka termasuk 10 buah telefon bimbit, radio mudah alih dengan wal­kie-talkie dan peranti pemati isyarat.

Beberapa imej imbasan tersebut disiarkan selepas Ketua Meja Jenayah akhbar Sabah, Nazif Karaman mendedahkan bahawa Jamal merayu supaya beg plastik yang ditekup pada kepalanya ditanggalkan kerana dia berasa lemas.

Semalam, Pendakwa Raya Arab Saudi memohon hukuman mati dikenakan ke atas lima pegawai, manakala mendakwa 11 suspek yang beliau tuduh membunuh wartawan dan kolumnis lantang itu.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu membidas kenyataan Arab Saudi tentang pembunuhan Jamal sebagai tidak mencukupi langsung.

Arab Saudi mengakui bahawa Jamal telah diberikan dadah dan anggota badannya dipotong dalam konsulat negara itu di Istanbul.

Pendakwa Riyadh berkata, anggota badan yang dipotong itu kemudiannya diserahkan kepada seorang ejen negara yang berada di halaman konsulat dan lima pegawai negara itu berdepan hukuman mati kerana melakukan pembunuhan itu.

Sementara itu, kelmarin, AS pula mengumumkan sekatan ke atas 17 rakyat Arab Saudi di atas peranan mereka membunuh Khashoggi bulan lalu.

Antara yang dikenakan sekatan itu adalah bekas pembantu kanan Putera Mahkota, Saud al-Qahtani serta Konsul Jeneral Arab Saudi, Mohammd Alotaibi.

Turut tersenarai, pembantu Saud, Maher Mutreb yang dirakam bergambar bersama Putera Mahkota, Mohammed Salman semasa lawatan ke AS dan Eropah, tahun ini. –MalaysiaGazette