Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Kerajaan akan membentangkan kertas putih pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang ‘curang’ dan tidak bertanggungjawab, Disember ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang yang melampaui batas iaitu melebihi RM8 bilion.

Kertas putih lazimnya dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, yang sesi persidangannya kali ini berlangsung sehingga 11 Disember.

Mohamed Azmin berkata permasalahan peneroka FELDA menjadi agenda utama kerajaan persekutuan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan mereka tidak terus menanggung bebanan kos sara hidup terlalu tinggi.

“Ada perwakilan bangkitkan soal FELDA, saya mewakili parti Keadilan dan kerajaan menegaskan masalah peneroka FELDA menjadi agenda utama kerajaan hari ini demi membela nasib mereka,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR ke-13 di sini hari ini.

Selain itu, katanya pembangunan di negeri-negeri yang ketinggalan juga menjadi fokus kerajaan tidak kira negeri berkenaan di bawah kerajaan PH atau pembangkang.

“Saudara Rafizi (Mohd Rafizi Ramli) ada ingatkan supaya negeri-negeri yang ketinggalan diberi perhatian. Dalam menggubal kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11, setelah berbincang kita setuju enam negeri diberi keutamaan. Kita juga bersetuju Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast