SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim lantang menyelar penyalahgunaan kuasa yang didakwa berlaku dalam kalangan petugas Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa pemilihan parti baru-baru ini.
Kelemahan itu berlaku apabila petugas yang juga merupakan ahli parti gagal mengenepikan sentimen peribadi terhadap kecenderungannya.
“Kita pilih petugas dalam kalangan ahli tapi ada petugas yang salah guna kuasa mereka,
dia tidak tahu bahawa sebaik diamanahkan dia kena ketepikan sentimen siapa yang dia sokong.
“Saya tidak bercakap memihak mana-mana, saya bercakap berdasarkan fakta seperti mana saya sebutkan saya akan pimpin parti dengan tegas,” katanya.
Beliau yang mengakui bahawa sistem pemilihan PKR kali ini mempunyai banyak kelemahan yang telah mencalarkan imej parti itu setelah laporan berita semakin tersebar.
Namun, beliau menggesa anggotanya menghentikan budaya tunding-menuding antara satu sama lain.
“Saya minta saudara hentikanlah untuk menuding kepada puak-puak, kita akui sistem pemilihan ini lemah. Memang kita akui banyak kecelaruan, saya yang tidak begitu arif tentang komputer pun tahu undi tablet ini hilang, maknanya ada kelemahan besar dalam pengendalian pemilihan.
“Sebab itu banyak laporan dan ini mencemarkan tiga bulan imej PKR parah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menurut Anwar, anggota parti yang menggunakan pendekatan ‘ganas’ untuk menyuarakan bantahan tidak layak berada dalam PKR.
“Saya nak mulakan ucapan dengan memberi gambaran yang jelas kamu tidak mahu terima disiplin parti atau kami tendang kamu keluar daripada parti.
“Tidak lagi!, boleh beza pendapat saya dengar, mesyuarat Biro Politik setiap minggu, MPP tiap bulan nak bantah, nak sergah, nak undi tak percaya pada saya pun silakan.
“Tetapi selagi kita dapati nak jerit di luar bukan tempatnya di dalam parti, hormat disiplin,” tambah beliau yang menganggap budaya bergaduh dan bertumbuk semasa pemilihan parti sebagai bukti ahli tidak hormat kepada disiplin yang perlu diamalkan dalam PKR.-MalaysiaGazette