Jamal Khashoggi. foto Reuters

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat memaklumkan sudah diberi taklimat penuh mengenai rakaman pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi tetapi tidak akan mendengarnya sendiri.

“Ia adalah pita rakaman penderitaan, mengerikan,” kata Donald Trump kepada Fox News Sunday.

Agensi Perisikan Pusat dilaporkan membuat kesimpulan bahawa perintah pembunuhan itu atas arahan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.

Namun, White House masih belum mengesahkan penilaian tersebut.

Arab Saudi pula mendakwa tuduhan itu tidak berasas dan menafikan pembabitan Putera Mahkota dalam pembunuhan tersebut.

Khashoggi yang dikenali lantang mengkritik kerajaan Arab Saudi dibunuh selepas memasuki bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Wartawan itu ke sana bagi mengambil dokumen untuk perkahwinannya.

Trump berkata, beliau tidak perlu mendengar pita rakaman itu kerana telah diberi taklimat sepenuhnya.

“Saya tahu kesemuanya apa yang ada di dalam pita itu meskipun tidak mendengarnya. Ia sangat ganas, kejam dan dahsyat,” ujarnya.

Pita itu diserahkan oleh Turki kepada Amerika Syarikat dan beberapa sekutunya di barat.

Kongres Amerika Syarikat telah mendesak Trump untuk memberi maklum balas yang tegas berhubung kes tersebut tetapi ia kemungkinan sukar kerana Arab Saudi merupakan rakan kuatnya di Asia Barat.

Trump memberitahu, CIA akan menyiapkan laporan penuh dalam beberapa hari lagi, mungkin pada hari Isnin atau Selasa. – MalaysiaGazette