KUALA LUMPUR – Majlis Belia Negeri Johor hari ini (MBNJ) mendesak kerajaan agar membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorty.
Walaupun Waytha mendakwa kenyataan tersebut dibuat 10 tahun yang lalu namun penjelasan tersebut memang tidak boleh diterima sama sekali.
Bendahari MBNJ, T. Thuraisamy berkata, tindak-tanduk Waytha itu boleh menjadi ‘barah’ jika ia tidak dirawat dengan segera.
“Waytha telah memfitnah dengan mengatakan penganut Hindu dan masyarakat India di negara ini telah didiskriminasi. Ia juga memberi imej buruk kepada Malaysia dan menimbulkan suasana tegang dalam negara.
“MBNJ berpendapat kenyataan itu seolah-olah Waytha telah dipengaruhi dengan agenda luar dan bertindak seperti pengkhianat.
“Malah, ia memberi gambaran jelas tentang niat sebenarnya apabila mencadangkan ratifikasi ICERD. Kerakyatan Waytha juga boleh dilucutkan kerana dia menunjukkan sikap tidak taat setia kepada negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Thuraisamy menambah, sebagai pemimpin tertinggi MBNJ yang menjadi badan induk belia di negeri Johor dan mewakili kaum India, beliau telah menyaksikan banyak manfaat yang telah diterima oleh kaum india sama ada dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial.
Melalui sistem yang sedia ada, orang India juga telah ramai menduduki jawatan tertinggi sebagai korporat, agensi kerajaan dan swasta.
Malah, kerajaan sejak dahulu lagi telah banyak mengadakan program khusus untuk masyarakat India terutamanya di dalam bidang keusahawanan ekonomi dan pendidikan, selain Agenda Pelan Tindakan Tindakan Masyarakat India Malaysia telah dilancarkan April lepas.
“Tindakan Waytha yang telah menimbulkan suasana tidak selesa dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang wajar diteladani dan Waytha mesti secara sukarela meletak jawatan bagi membolehkan siasatan yang akan dijalankan lebih telus,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan agar anak-anak tidak terpengaruh dengan sebarang anasir yang boleh memporak-perandakan negara. – MalaysiaGazette