KUALA lUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah supaya mengambil langkah kawalan termasuk keselamatan bagi peniaga yang menjalankan perniagaan di tepi jalan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, kawalan itu termasuk memantau jika ada peniaga mengambil kesempatan membuka gerai jualan sehingga melebihi garisan tepi jalan yang disediakan.

Katanya, pemantauan itu bagi mengelak berulangnya tragedi yang meragut nyawa seorang pelanggan dan empat yang lain cedera akibat dilanggar kenderaan pacuan empat roda (4×4) di Taman Equine, Seri Kembangan Ahad malam.

“Ini adalah sesuatu perkara yang DBKL perlu pantau dan sediakan satu garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua peniaga.

“Sementara menunggu garis panduan itu siap, kita meminta semua peniaga di tepi jalan agar lebih berhati-hati dan tidak melanggar peraturan seperti meletakkan kerusi meja berhampiran jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Belilah Barangan Malaysia di Stesen MRT Pasar Seni di sini, hari ini.

Ahad malam lalu, seorang wanita maut, manakala empat lagi cedera parah apabila kenderaan pacuan empat rida itu terbabas dan melanggar mangsa yang sedang makan di tepi jalan di hadapan sebuah restoran di Serdang.

Sementara itu, pemandu kenderaan terbabit yang melarikan diri, ditahan polis kelmarin dan ketika kejadian dia tidak mempunyai lesen memandu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, suspek yang berasal dari Sarawak dipercayai mabuk ketika memandu kenderaan milik syarikatnya bekerja. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast