SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 menyasarkan jualan bernilai RM300 juta dan 3.5 juta pengunjung untuk edisi yang bakal membuka tirai secara rasmi esok di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayob berkata, setakat ini, kira-kira 99 peratus kerja-kerja persiapan akhir sudah terlaksana menjelang hari perasmian oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad petang esok.

“Kita akan mengutarakan beberapa inovasi terbaharu dalam MAHA kali ini seperti industri robotik kulinari dan konsep from lab to table sebagai pembaharuan revolusi pertanian moden.

“Disamping itu, saya rasa dasar-dasar terdahulu yang masih relevan akan tetap kita pamerkan dan harap sasaran 3.5 juta pengunjung akan kita capai dalam pameran yang berlangsung selama 11 hari sehingga 2 Disember ini,” katanya dalam sidang media selepas Media Tour memantau persiapan akhir MAHA 2018 di Maeps di sini hari ini.

Tambah Salahudin, penglibatan usahawan muda dalam sektor pertanian semakin menampakkan peningkatan dan ia telah menarik perhatiannya.

“Saya lihat kalau beginilah indikatornya, masa depan industri dalam semua sektor pertanian akan dapat dipertingkatkan dengan anak muda yang berpengetahuan tinggi dan dalam MAHA kali ini lebih 30 peratus peserta ialah usahawan muda,” katanya lagi.

Semasa lawatan sama, Salahuddin juga melancarkan dua produk menjelang MAHA iaitu minuman berkhasiat bernama Pinacolama gabungan buah nanas dan kelapa.

Katanya, di negara ini nanas ditanam dengan keluasan 13,433 hektar dengan pengeluaran 438,811 tan metrik dan keluasan tanaman kelapa ialah 81,585 hektar dengan pengeluaran 538,685 tan metrik.

“Pinacolama membawa maksud (Pina – Nanas,Cola-kelapa dan Ma-Malaysia) diambil dari nama Pinacolada di Puerto Rico tetapi perbezaannya di sana ialah dua buah ini dicampur dengan minuman alkohol rum  dan di sini hanya disediakan dengan dua buah berkenaan untuk citarasa rakyat kita,” katanya.

Manakala produk kedua yang akan dipromosikan secara meluas bermula esok dalam MAHA ialah kad perlindungan Takaful istimewa edisi khas MAHA2018 iaitu Takaful Agro Mabrur-i.

Salahudin seterusnya mahu petani bersama skim takaful berkenaan kerana ia bermanfaat kerana menawarkan skim perlindungan menarik bukan sekadar individu tetapi dibuat dalam bentuk kelompok petani dengan pelaburan yang munasabah dan mampu meringankan beban mereka dari malapetaka yang menimpa diri mereka.

“Ia menawarkan badal haji berjumlah RM3,500 iaitu pelanggan yang mengalami kecacatan kekal atau meninggal dunia akan menerima wang tunai bagi waris yang mengerjakan haji secara upah haji.

“Bagi bukan Islam, ia akan ditukarkan kepada manfaat tunai dengan hanya bayaran serendah RM75 setahun dengan perlindungan berjumlah RM44,000,” katanya.

Semenjak pelancarannya pada 19 April 2016, ia dilanggan lebih 3,500 orang dengan nlai perlindungan berjumlah RM164.8 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast