Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Tiada arahan dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO untuk memancing undi wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Melayu Islam pada 9 Mei lalu.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komplot untuk menarik ahli-ahli Parlimen PH itu tidak timbul dan jika wujud pun ia tidak dibincangkan secara terbuka.

“Tiada arahan dibuat oleh UMNO untuk memancing undi calon-calon atau wakil rakyat PH.

“Kalau ada pihak lain itu saya tak tahu lah, tapi daripada saya pada malam itu memang tiada arahan.

“Kita tak bincang perkara macam ini secara terbuka,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam wujudnya usaha untuk menarik ahli-ahli Parlimen PH khususnya PKR beragama Islam dan Melayu untuk membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu.

Dr Mahathir berkata, usaha itu untuk menghimpunkan wakil rakyat beragama Islam daripada UMNO, Pas dan PH, supaya mereka mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan Melayu Islam.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendedahkan cubaan itu cuba menghalang PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan beberapa jam sebelum keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast