KUALA LUMPUR – Sikap ekstrem yang menjadi titik tolak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dalam memperjuangkan nasib masyarakat India sehingga mengecilkan jasa pemimpin lain mungkin antara sebab mengapa beliau tidak popular sehingga kini.
Misalnya, sejak dulu dan sehingga kini, Waytha masih mengaitkan MIC khususnya barisan kepimpinan parti itu dengan nasib masyarakat India yang didakwa masih lagi di takuk lama serta tidak terbela selama berpuluh tahun.
Mengakui secara terbuka tidak berapa gemar dengan kewujudan Waytha, namun pada masa yang sama, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran tidak melulu membidas beliau.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Vigneswaran berkata, walaupun beliau tidak bersetuju dengan isu-isu yang ditimbulkan oleh Waytha dalam video 10 tahun lepas namun tindakan pihak tertentu menularkan rakaman tersebut tidak boleh diterima.
“Saya sebenarnya langsung tidak menyukai lelaki ini. Malah seingat saya, sebelum beliau dilantik menjadi menteri, saya telah memberi kenyataan dengan berbesar hati bahawa kami akan menyokong serta sanggup bekerjsama dengan beliau bagi memastikan hal berkaitan masyarakat sentiasa diberi fokus.
“Beliau buat tidak endah dan acuh tidak acuh sahaja. Baginya MIC ini langsung tidak bermakna apa-apa. Ini namanya bongkak. Tidak adil untuk mengecilkan jasa kami yang jauh lebih besar berpuluh tahun ini.
“Semuanya salah MIC, seolah-olah kami telah mengkhianti bangsa kami sendiri. Tidak betul. Kami hidup aman damai sahaja. Lihat berapa banyak sekolah, rumah ibadat dan kejayaan serta pembagunan ekonomi di kecapi oleh kita hari ini. Apa yang tidak berjasanya jika bukan inisiatif kerajaan terdahulu.
“Apakah jenis sumbangan yang telah dibuat oleh mereka yang kini berada dalam kerajaan jika hendak dibandingkan dengan kami dalam Barisan Nasional terutamanya MIC? Membangkang sahaja kerja mereka selama ini,” katanya.
Namun jelas Vigneswaran, tindakan menggesa Waytha meletak jawatan dengan panggilan ‘rasis’ selain mengaitkan dengan video lama rakaman beliau adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Mungkin beliau sudah berubah. Itu perkara lama, kenyataan lama. Kini beliau sudah bergelar menteri. Kita kena berinya masa untuk buktikan diri benar-benar layak atau sebaliknya dalam menerajui kementerian beliau.
“Kita juga usah terburu-buru seperti mereka. Bagi masa, tidak apa. Seandainya beliau mampu memberikan sesuatu yang jauh lebih baik dan bermaanfat untuk masyarakat India selepas ini, apa salahnya. Ok sahaja,” ujarnya.
Vigneswaran juga menafikan wujudnya diskriminasi terhadap kaum India dan agama Hindu di negara ini ketika pemerintahan kerajaan terdahulu seperti yang digembar- gemburkan.
Dalam nada menyindir, Vigneswaran yang juga Yang DiPertuan Dewan Negara berkata, tidak betul untuk jatuh hukum seseorang hanya kerana mereka berjawatan dan mempunyai kedudukan sebagai pemimpin.
Malah amalan politik dendam seharusnya dihindari seboleh mungkin selain dari henti menuding jari setiap kali yang akhirnya menyebabkan rakyat jelata rugi.
“Cukuplah, macam yang kita lihat sekarang, hanya kerana kita ini pembangkang, macam-macam kesalahan di cari untuk ‘dendam’ politik. Tidak perlu pada kiraan saya.
“Jadi professional, kita bangkang dengan fakta, tapi tidak perlu selalu sangat tuding jari dan perlekehkan yang lain. Itu tidak betul. Bila anda buat kami, kita perlu diam, jika kami cakap sesuatu mengapa anda kepanasan? Cukuplah,” tegas beliau.
Waytha berdepan dengan pelbagai kontroversi, antaranya isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Tidak cukup dengan itu, tersebar luas video lama Moorthy yang memburukkan Malaysia dan orang Melayu, kononnya kepemimpinan negara melakukan pencabulan terhadap hak asasi rakyat, khususnya kaum India.
Video berdurasi dua minit 39 saat itu memaparkan kenyataan Waytha Moorthy, ketika membawa usul Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) kepada Ahli Parlimen Belanda pada 2007.
Beliau dilihat memberi gambaran salah mengenai dakwaan penindasan ke atas kaum India dan penganut Hindu di Malaysia, selain persepsi tidak enak mengenai Islam dan Melayu di negara ini.
Pelbagai pihak sama ada mendesak beliau meletak jawatan atau dilucutkan jawatan selain daripada permohonan maaf berhubung kenyataan tersebut yang ternyata menyentuh sensitiviti rata-rata rakyat. –MalaysiaGazette