Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diiringi timbalannya, Hannah Yeoh (dua kiri) melancarkan Panduan Pemilihan Pengasuh Di Rumah di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA– Insiden menyayat hati suami pengasuh penagih dadah yang bukan sahaja merogol, mencabul dan mendera sehingga bayi sembilan bulan Nur Muazara meninggal dunia baharu masih lagi terus menghantui rata-rata masyarakat sehingga kini.

Malah insiden seperti itu dapat dielakkan seandainya semua pihak termasuk ibu bapa dan penjaga peka bukan sahaja terhadap keadaan sekeliling malah juga terhadap pengasuh yang mengasuh serta menjaga anak-anak kecil ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, (KPWKM) Hannah Yeoh menggesa ibu bapa dan penjaga supaya tidak sesekali memilih pengasuh secara sambil lewa terutamanya melalui atas talian (online) dengan termakan dengan gambaran yang diberikan oleh pihak terbabit.

Kata Hannah, ibu bapa kini mempunyai kecederungan untuk memilih pengasuh terutamanya yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa malah mempunyai latarbelakang termasuk yang mempunyai kesalahan jenayah tanpa langsung menyemak latarbelakang terlebih dahulu.

“Jangan sesekali memilih pengasuh secara atas talian. Semak terlebih dahulu latar belakang mereka sebelum menghantar anak-anak kecil kepada mereka. Beringat sebelum terkena, jangan sampai kita dihidangkan lagi kes-kes sebelum ini.

“Hantar mereka kepada pusat asuhan yang bertauliah dan boleh dipercayai, sejak kebelakangan ini, isu pengasuh atau taska yang cuai sehingga membawa kepada kecederaan dan kematian kanak-kanak di bawah jagaan mereka semakin menjadi-jadi.

“Ibu bapa perlu melakukan pilihan yang tepat kerana anak-anak mereka akan ditinggalkan hampir seharian di sana,” katanya ketika majlis pelancaran panduan kepada ibu bapa sebelum hantar kepada pengasuh di sini hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Putrajaya hari ini.

MGF23112018_AZIZAH RASMI PANDUAN PENGASUH02
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Panduan Pemilihan Pengasuh Di Rumah di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 NOVEMBER 2018.

Dalam pada itu, KPWKM juga akan mengambil pendekatan termasuk melancarkan  infografik yang boleh menjadi panduan serta amaran awal kepada  masyarakat bahawa seorang kanak-kanak itu mungkin menjadi mangsa dera.

Selain daripada itu, kata Hannah, pihak kementerian juga dalam proses menyediakan sistem semakan jauh lebih komprehensif yang akan siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

“Untuk sementara waktu, kita akan gunakan infografik ini yang turut bekerjasama dengan Persatuan Pengasuh Berdaftar serta beberapa beberapa doktor pakar untuk tujuan ini.

“Jangan terlalu leka, jika kelakuan anak-anak nampak berlainan, asyik menangis dan sebagainya, janganlah sambil lewa. Ikut naluri anda, itu yang sebetulnya.

“Infografik ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang antara tanda-tanda serta loceng amaran kepada kes seperti dera,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hannah juga menasihatkan ibu bapa untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau menyalahi undang-undang yang berlaku di TASKA atau rumah pengasuh dengan menghubungi talian Kasih 15999.

Hannah juga mendedahkan hampir 90 peratus Taska masih lagi tidak berdaftar dengan Jabatakan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini. –MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast