Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Keputusan Pakatan Harapan (PH) yang mengumumkan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dipercayai mempunyai motif politik.

Jelas Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, keputusan tersebut terlihat dibuat secara tergesa-gesa memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau akan diadakan.

“Sehubungan itu, pembangkang menggesa kerajaan mengikut prosedur tetap bagi mengumumkan keputusan berkaitan dasar luar negara ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, sekalipun keputusan tersebut merupakan berita baik buat parti pembangkang namun menurut Zahid, kerajaan PH digesa mengikuti prosedur rasmi mengumumkan keputusan itu.

Katanya, pengumuman yang dibuat menerusi kenyataan media dari Jabatan Perdana Menteri pada petang tadi tidak mengikut format kerana tiada tandatangan Perdana  Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu Zahid senada dengan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Anuar Shamsul Nasarah agar keputusan kerajaan itu di bawa ke Dewan Rakyat agar dapat direkodkan secara rasmi kerana dikhuatiri berubah bila-bila masa sahaja.

“Ia hanya boleh disahkan melalui tanda tangan Perdana Menteri sendiri yang kemudiannya membawa usul itu ke Parlimen agar direkodkan dalam hansard rasmi.

“Pendekatan ini tidak boleh diterima dan tidak menjamin ianya akan berubah bila-bila masa sahaja, apatah lagi ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

“Sehingga ianya dimasukkan ke dalam hansard Parlimen, kami sukar untuk mempercayai keikhlasan kerajaan dalam membuat keputusannya,” katanya lagi.

Terdahulu, kerajaan PH berkata tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri.

Pada 18 November lalu, Mahathir berkata, pelaksanaan ICERD akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan hampir mustahil untuk dilakukan.

Jelasnya, ICERD yang menerima bantahan pelbagai pihak termasuklah UMNO dan PAS selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri memerlukan majoriti dua pertiga ahli Parlimen diperlukan untuk pelaksanaannya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyuarakan pandangannya sejak Kongres Nasional parti itu bahawa ICERD yang pada mulanya dicetuskan oleh Menteri Di  Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy merupakan isu menyentuh perkauman, menimbulkan keresahan dan perlu ditangguh. -MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/23/kerajaan-tak-ratifikasi-icerd/