Aminuddin Yahaya
Aminuddin (tiga dari kiri) menunjukkan resolusi yang dicapai bagi mendesak P. Waytha Moorty supaya segera melepaskan jawatannya dalam Kabinet.

KUALA LUMPUR – Kongres Tolak ICERD yang berlangsung selama dua hari bermula semalam mencapai kata sepakat mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy supaya segera melepaskan jawatannya dalam Kabinet.

Ketua Sekreteriat Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya berkata, Waytha tidak layak untuk menganggotai Kabinet ekoran kenyataan yang memburuk nama negara.

Meskipun ia merupakan perkara yang pernah dilakukan 10 tahun lalu, namun ia sesuatu yang tidak boleh diterima oleh seluruh rakyat negara ini, katanya.

Malah, beliau mendakwa, Waytha dilihat masih lagi membawa sikap lamanya sehingga kini.

“Kes (rakaman video) berlaku sepuluh tahun lalu, ia bukan isu baru. Kita tahu bagaimana sikapnya, dan ia dibawa sampai ke hari ini.

“Jika kita beri ruang kepada orang seperti ini, ia tidak betul dan satu usaha memusnahkan keharmonian negara kita,” katanya pada sidang media selepas kongres berkenaan di sini hari ini.

Dalam satu rakaman yang tular, Waytha yang merupakan pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mendakwa golongan minoriti, terutama masyarakat India, didiskriminasi di Malaysia.

Menerusi video yang dikatakan dirakam oleh stesen televisyen Belanda pada 2007 itu Waytha berkata, antara bentuk diskriminasi itu ialah kuil dirobohkan, dipaksa menukar agama dan diusir daripada rumah tradisi di kawasan ladang.

Video berkenaan menjadi tular di tengah-tengah isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan beberapa pihak menganggapnya memburukkan negara menjadi perbualan hangat.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kongres tersebut akan tetap berusaha untuk memastikan Waytha tidak lagi menjawat jawatan sebagai menteri.

Ujarnya, mereka akan membuat apa sahaja yang difikirkan perlu agar kerajaan membuat keputusan untuk memecat Waytha.

“Kongres mendesak kerajaan membahaskan isu itu di Dewan Rakyat agar boleh direkodkan dalam hansard parlimen.

“Bukan sekadar kenyataan media yang tiada kesan atau nilai perundangan,” tambah beliau.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Waytha sudah berubah dan rakyat perlu memberi peluang kepadanya untuk menjalankan tugas sebagai anggota Kabinet.

Dr Mahathir turut mengandaikan Waytha sebagai individu sepertinya yang mempunyai masa silam yang boleh diperbaiki. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast