KUALA LUMPUR – Pemimpin baharu kerajaan Pakatan Harapan perlu bersikap terbuka dan tidak prasangka terhadap wartawan yang ditugaskan untuk bertanya soalan atau mendapatkan maklumat.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, tanggungjawab setiap pemimpin untuk menjawab setiap persoalan diajukan wartawan dengan berhemah.
“Jawablah dengan berhemah atau pun kita berdiam diri lebih baik daripada memberi komen yang tak sepatutnya.
“Kita sama-sama bekerja, wartawan pun perlukan maklumat daripada kita. Kalau bukan kita sebagai pemimpin yang jawab, siapa lagi?,” katanya lapor Sinar Harian Online.
Eddin Syazlee berkata demikian ketika ditemui media pada majlis Apresiasi Bersama Media Negeri Sembilan di sebuah hotel di Seremban, malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, pengamal media di negara ini secara umumnya masih berpegang kepada prinsip dan etika kewartawanan.
“Saya sarankan pemimpin mengadakan majlis ramah mesra dengan pengamal media supaya dapat mewujudkan hubungan baik antara kedua pihak.
“Sekurangnya kita saling mengenali kerana jika tidak, kita mudah untuk mengandaikan macam-macam.
“Lagipun sebagai pemimpin dan ahli politik kita tak boleh lari daripada wartawan. Jadi, cubalah perbaiki kesilapan lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette