ABU DHABI- Seorang putera kanan Arab Saudi curiga dengan laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang mendakwa Putera Mahkota Mohammed bin Salman telah mengarahkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Istanbul bulan lepas.
CIA bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan sebenar.
“CIA tidak semestinya mempunyai standard tertinggi di dalam ketepatan menilai situasi ini,” kata Putera Turki al-Faisal, salah seorang kerabat terdekat diraja Saudi memberitahu pemberita di Abu Dhabi pada Sabtu.
Putera berkenaan yang merupakan bekas ketua perisikan Arab Saudi turut pernah berkhidmat sebagai duta ke Amerika Syarikat berkata, kesimpulan yang dibuat CIA dengan mengatakan Iraq memiliki senjata kimia sebelum pencerobohan Amerika Syarikat pada 2003 menunjukkan ia bukanlah sebuah agensi yang boleh dipercayai.
“Ia merupakan satu penilaian yang paling salah dan tidak tepat sehingga menyebabkan tercetusnya satu perang besar yang mengorbankan ribuan nyawa.
“Saya tidak faham mengapa CIA tidak dibicarakan di AS.
“Ini adalah jawapan saya terhadap penilaian mereka mengenai siapa yang bersalah dan siapa yang tidak berhubung kejadian di konsulat dekat Istanbul,” katanya.
CIA memutuskan Putera Mohammed telah mengarahkan satu operasi untuk membunuh Khashoggi sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Washington Post serta hasil siasatan yang dimaklumkan oleh sumber-sumber kerajaan AS kepada Reuters. – MalaysiaGazette