KUALA LUMPUR – Himpunan Tuntut Janji Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) di Masjid Jamek di sini, Sabtu lalu mendapat reaksi Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan.
Bercakap kepada media dalam satu program di Perlis, beliau hanya menyatakan tindakan kumpulan pelajar dari Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) itu telah melanggar prinsip Budaya Baru Politik Mahasiswa Gamis (BBPM).
Katanya, ternyata pelajar berkenaan tidak mematuhi BBPM apabila mengadakan perhimpunan mendesaknya dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan.
“Mereka seharusnya kembali kepada BBPM yang diuar-uarkan gabungan itu pada September tahun lalu, yang mana didalamnya ada tujuh budaya atau ciri-ciri yang ditekankan dalam kerangka mahasiswa berpolitik.
“Saya dimaklumkan, menerusi BBPM, Gamis ada menyatakan mereka berpegang pada prinsip itu yang berteraskan Islam, mengutamakan diplomasi seperti diskusi dan pendekatan damai serta mengelakkan pertentangan fizikal dan huru hara.
“Saya harap Gamis periksa semula adakah tindakan mereka tempoh hari selari dengan BBPM,” katanya.
Beliau mengulas tindakan lebih 500 mahasiswa terdiri daripada Gamis berarak sejauh kira-kira tiga kilometer dari pekarangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ke menara PTPTN sambil membawa beberapa sepanduk seperti ‘Mahasiswa Ditekan’ dan ‘Kami Ditipu’.
Mereka mendesak Dr Maszlee dan Wan Saiful meletakkan jawatan selepas didakwa gagal melaksanakan janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu peminjam PTPTN membuat pembayaran balik apabila gaji mereka melebihi paras RM4,000. – MalaysiaGazette