Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Idris Zaharuddin menerima cenderamata dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah (kiri) selepas menyampaikan ucapan pelancaran pada Program Hari Integrasi PROLINTAS 2018 di Hotel Grand Dorsett Subang, Subang Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2018

SUBANG – Terdapat empat elemen penting yang perlu diberi perhatian oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam penubuhan Unit Integriti dan Governans (IGU).

Menurut Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Idris Zaharuddin keempat-empat perkara itu adalah pengurusan yang baik, aspek pengesahan dan keberkesanan, pengukuhan intergriti akhir sekali tadbir urus yang baik.

“Izinkan saya untuk menyentuh serba-sedikit tentang saranan Perdana Menteri berhubung dengan penubuhan IGU di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Untuk makluman, semua empat teras utama yang perlu diberikan pengkhususan terutama dalam aspek pengurusan kedua aspek pengesahan dan keberkesanan, ketiga dari segi pengukuhan intergriti dan seterusnya tadbir urus,” katanya ringkas ketika mewakili Ketua Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Shukri Abdull ketika merasmikan Program Hari Intergriti PROLINTAS 2018 di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata, semua GLC diberi tempoh dua tahun untuk menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) bermula tarikh arahan iaitu pada 5 Oktober tahun ini.

Unit berkenaan perlu diletakkan di bawah lembaga pengarah syarikat manakala pelaksanaan dan pelaporan fungsi teras dikawal selia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).-MalaysiaGazette