Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan motif Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad membuat tuduhan bahawa Datuk Seri Najib telah mengarahkan laporan audit mengenai 1Malaysia Development Berhad dipinda sedangkan tuduhan tersebut diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

Dalam kenyataannya malam ini, Shafee yang merupakan peguam bekas perdana menteri itu berkata, tuduhan yang dibuat menerusi kenyataan media pagi tadi bukan sahaja telah mendahului siasatan SPRM malah menimbulkan keadaan di mana anak guamnya (Najib) dituduh secara terbuka terlebih dahulu dan hanya selepas itu siasatan dijalankan.

Sehubungan dengan itu, Shafee yang mengendalikan kes-kes Najib menggesa pihak berkuasa yang berkaitan supaya lebih bertanggungjawab dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat berkenaan anak guamnya pada masa akan datang.

“Biarkan proses keadilan itu dilaksanakan secara adil dan saksama sejajar dengan janji yang dibuat oleh kerajaan sekarang bahawa keadilan dan kedaulatan undang-undang akan sentiasa ditegakkan dalam memastikan setiap orang menjalani perbicaraan yang adil,” katanya.

Shafee mengulas kenyataan media oleh Madinah yang menurut peguam itu  dibuat atas arahan Kabinet berkaitan laporan audit 1MDB yang disediakan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan telah dibentangkan kepada PAC pada 4 Mac 2016.

Di dalam kenyataan tersebut, menurut Shafee, tuduhan telah dibuat ke atas Najib sama ada atas kapasitinya sendiri bersama bekas KSN, Tan Sri Ali Hamsa serta/atau setiausaha sulit beliau telah mengarahkan Ambrin untuk meminda laporan tersebut sebelum dibentangkan kepada PAC.

Mengenai tuduhan bahawa bekas setiausaha sulit anak guamnya telah mengarahkan maklumat kehadiran Jho Low dalam satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dikeluarkan dari laporan tersebut dengan maksud untuk menyembunyikan penglibatan ahli perniagaan itu dalam mesyuarat berkenaan, kata Shafee, perkara tersebut telah pun dijawab di Parlimen,

“Perkara tersebut telah pun didedahkan di Parlimen pada 21 Disember 2015 di mana Kementerian Kewangan dengan jelas menyatakan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat tersebut mewakili Putera Turki iaitu pemilik PetroSaudi Inc.

“Kehadiran Jho Low dalam mesyuarat tersebut juga telah didedah dan dibincang dalam prosiding PAC mengenai 1MDB pada 25 November 2015 di mana bekas Ketua Audit Negara turut hadir,” katanya yang turut menyertakan pautan

http://www.parlimen.gov.my/images/webuser/pac/hansard%20PAC/1m db/PAC-25112015%20Bil.%2029%20Bhg.%201.pdf

Mengenai tuduhan kedua, kata Shafee, adalah menjadi prosedur standard dalam mana-mana proses pengauditan, pengaudit dan pihak yang diaudit mengadakan pertemuan untuk membincangkan rangka laporan untuk penjelasan lanjut, serta pembetulan sebarang maklumat yang tidak tepat.

Shafee berkata, kenyataan Madinah yang dikeluarkan pada pagi Ahad adalah di luar kebiasaan sambil mengaitkannya dengan arahan Kabinet justeru ia memberi gambaran wujudnya campurtangan politik dalam kes tersebut.

Katanya, kenyataan itu juga yang tidak disertakan dengan sebarang dokumen yang berkaitan cuba memberi gambaran bahawa anak guamnya telah cuba untuk menutup kesalahan dalam kes 1MDB dan Jho Low.

“Boleh difahami bahawa ini adalah cubaan untuk mempengaruhi pandangan umum dan prejudis kepada anak guam kami sebelum kes dibicarakan, dan keadaan ini adalah menghina mahkamah.

“Sebagai peguam dan lebih penting lagi rakyat Malaysia, kami mengakui tentang pentingnya maklumat serta pendedahan awam. Bagaimanapun sebarang kenyataan yang dibuat oleh kerajaan sekarang mesti mengambil kira hak anak guam kami di bawah Perkara 5 and 8(1) Perlembagaan Persekutuan dalam mendapatkan perbicaraan yang adil tanpa campurtangan politik. Ini adalah perkara teras dalam kedaulatan undang-undang.

“Anak guam kami juga tidak pernah dihubungi oleh pejabat  Ketua Audit Negara untuk penjelasan sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan. Sehubungan dengan itu anak guam kami tidak pernah diberi peluang untuk memberi maklum balas dan ia adalah satu lagi pelanggaran prinsip keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette