ISTANBUL – Putera Mahkota, Mohammed bin Salman telah meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki, Tayyip Erdogan.
Bagaimanapun, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata, buat masa tiada keperluan untuk Erdogan untuk bertemu dengan Putera Mahkota itu.
“Ya, beliau ada bertanya Erdogan melalui telefon, sama ada mereka perlu berjumpa di Buenos Aires.
“Erdogan jawab ‘tengok nanti,” kata Cavusoglu kepada akhbar Jerman.
Erdogan dan Putera Mohammed akan menghadiri mesyuarat G20 di Argentina minggu ini.
Hubungan Arab Saudi dan Turki tegang susulan kes pembunuhan Jamal Khashoggi di bangunan Konsulat Riyadh di Istanbul.
Selepas melakukan beberapa penafian dalam kes pembunuhan wartawan itu, Arab Saudi akhirnya mengesahkan Khashoggi dibunuh dan mayatnya telah dikerat.
Arab Saudi berulang kali menafikan pembabitkan Mohammed bin Salman dalam kes tersebut.
Namun, Turki mendakwa rancangan pembunuhan Khashoggi yang dilakukan oleh 15 orang agennya membabitkan pasukan keselamatan Mohammed bin Salman.
Erdogan percaya pembunuhan kejam itu dibuat atas arahan peringkat kepimpinan tertinggi Arab Saudi, namun menafikan penglibatan Raja Salman.
Ditanya sama ada Turki tahu siapa yang memberi arahan membunuh Khashoggi, Cavusoglu berkata, kumpulan itu tidak akan melakukan demikian dengan sendiri.
Tetapi, beliau tidak boleh mengulas panjang tanpa bukti.
Cavusoglu berkata, Riyadh ada menawarkan untuk menghantar gambar penduduk tempatan yang membantu pembunuhan itu namun katanya mengapa mahu memberi gambar memandangkan Arab Saudi tahu identiti individu tersebut.
Beliau yang mendengar pita rakaman pembunuhan itu berkata, Khashoggi dibunuh dalam tempoh tujuh minit.
“Ia adalah pembunuhan yang dirancang.
“Ia boleh didengar bagaimana ahli forensik mengarahkan individu lain supaya mendengar muzik semasa dia memotong badan. Seorang lain pula memaklumkan bahawa dia sedang bergembira,” katanya. – MalaysiaGazette