SHAH ALAM – Kerajaan tidak boleh selama-lamanya memberikan perkhidmatan percuma kepada rakyat terutama membabitkan pengangkutan awam, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, kerajaan memerlukan semula pulangan dari rakyat dalam bentuk bayaran tambang bagi membolehkan sistem pengangkutan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Justeru, katanya, mulai 1 Januari depan, kementeriannya menetapkan tambang bagi perkhidmatan kereta api Skypark.
Jelas beliau, tambang yang dikenakan dari stesen Kuala Lumpur Sentrak (KL Sentral) ke Terminal Skypark Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (LTSAAS) ialah RM11 untuk satu hala perjalanan.
“Harga itu sekiranya penumpang membeli tiket secara tunai. Kalau mereka menggunakan kad Touch and Go (TnG), tambangnya hanya RM10 untuk satu hala perjalanan.
“Kadar ini telah mendapat kelulusan Kabinet dan ianya berkuatkuasa 1 Januari ini bagi perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Terminal Skypark LTSAAS di Subang,” katanya pada sidang media selepas meninjau projek landasan keretapi dari Subang Jaya ke Terminal Skypark Fasa 1 di sini, hari ini.
Terdahulu Loke Siew menaiki tren dari Skypark Link KL Sentral ke Stesen Terminal Skypark LTSAAS.
Menurutnya, perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Terminal Skypark LTSAAS hanya mengambil masa 30 minit, manakala 13 minit dari Stesen KTM Subang Jaya ke Terminal Skypark LTSAAS.
Ditanya sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan itu, beliau menyatakan, sambutannya agak mendukacita apabila hanya kira-kira 150 penumpang menggunakannya dalam satu hari.
“Mungkin perkhidmatan ini masih baharu dan tidak ada promosi yang mencukupi dari pihak kerajaan dan Keretapi Tanah Melayu (KTM).
“Saya telah meminta pihak KTM agar mengadakan perundingan dengan syarikat penerbangan yang menggunakan LTSAAS supaya penumpang mereka menggunakan perkhidmatan kereta api ini, dengan menawarkan tambang yang lebih fleksibel,” katanya.
Menurut Loke Siew, kerajaan telah memperuntukan kira-kira RM500 juta untuk membina landasan baharu menghubungkan rel sedia ada di Stesen KTM Subang Jaya ke Terminal Skypark LTSAAS.
Menjawab soalan, beliau tidak bercadang untuk menyambungkan landasan itu ke Sungai Buloh, tetapi akan mengemukakan dalam Mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan. – MalaysiaGazette